Kesemua peserta terdiri daripada penjawat awam Johor, kumpulan Rumah Ngaji serta orang ramai.
Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.
Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Rumah Ngaji Johor, Md Yusof Jamar berkata, bacaan surah al-Kahf itu telah dialunkan oleh lima qari yang turut diikuti oleh peserta.
"Kemudian berlangsungnya sesi tadabbur surah al-Kahf dikendalikan oleh Ustaz Mohd Khalid Sujud sebelum majlis khatam al-Quran.
"Bacaan dimulakan dengan al-Fatihah dan al-Baqarah ayat 1 hingga 5. Program diteruskan dengan bacaan solidariti al-Quran.
"Selepas itu, bacaan 19 surah khatam al-Quran oleh qari diikuti doa khatam al-Quran serta ikrar al-Quran," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di sini hari ini.
Md Yusof berkata, sambutan World #QuranHour di Masjid Kota Iskandar, amat memuaskan dengan kehadiran ramai peserta lelaki dan wanita bagi menjayakan program tersebut.
"Sambutan memang di luar jangkaan. Dalam keadaan puasa ini, biasanya tak ramai. Tapi hari ini Alhamdulillah, ramai yang datang dari jauh," katanya.
Beliau berkata, World #QuranHour di Johor kali ini turut mengambil tema sama iaitu misi al-Kahf dan 'hashtag' adalah membaca, memahami dan mengamalkan.
"Terdapat empat kisah yang besar dalam surah al-Kahf iaitu cabaran iman melalui kisah pemuda al-Kahf, cabaran harta (kisah pemilik dua kebun), cabaran ilmu pengetahuan (kisah Nabi Musa dan Nabi Khidir) cabaran kekuasaan (Zulkarnain)," katanya.
Md Yusof berkata, Johor menyaksikan gerakan membudayakan al-Quran telah lama berlaku iaitu 1997 diikuti usaha meramaikan guru dan pelajar.
"Jadi sekarang ini, dengan gerakan Rumah Ngaji bertambah lagi aktiviti yang melibatkan al-Quran. Alhamdulillah, rasanya di seluruh dunia momentum itu sudah ada.
"Dengan gelombang-gelombang yang kita pancarkan ini, Insya-ALLAH lebih ramai orang baca, faham dan amal (budaya) al-Quran. Rumah Ngaji Johor berharap lebih ramai terlibat untuk belajar dan mengajar al-Quran. Mudah-mudahan, apa yang terbina ialah akhlak dan semangat untuk belajar lebih besar," katanya.


