SHAH ALAM - Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad meminta maaf serta menarik balik kenyataan kontroversinya terhadap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menimbulkan rasa tidak senang hati terutamanya dalam kalangan penyokong kuat parti Islam itu.
Beliau berkata, kenyataan mengatakan 'Presiden Pas sudah tidak centre' itu langsung tidak berniat untuk membuat serangan peribadi terhadap Abdul Hadi, namun tetap mempertahankan hujah bahawa Pas bukan model politik Islam.
Ini kerana menurutnya, Abdul Hadi telah mengkhianati perjuangan Pas yang ingin menghayati perjuangan Islam sebenar apabila bekerjasama dengan UMNO dan menyertai kerajaan Perikatan Nasional.
"Sejak awal lagi, ketika kepimpinan Allahyarham Datuk Mohamad Asri Muda ditolak perwakilan Pas pada 1982, perjuangan yang ingin dibawa adalah perjuangan Islam yang bebas daripada perkauman dan penyelewengan.
"Oleh itu sikap bersama kerajaan pintu belakang atau 'tebukan bumbung' Perikatan Nasional adalah jauh tersasar daripada perjuangan yang dibawa kepimpinan Allahyarham Ustaz Fadzil Muhammad Noor dan Allahyarham Tok Guru, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat," katanya pada sidang akhbar khas di Pusat Khidmat Parlimen Shah Alam, di sini hari ini.
Terdahulu, Khalid membuat laporan polis selepas diprovokasi beberapa individu ketika menghadiri pertemuan bersama ahli Pakatan Harapan (PH) di Kuala Terengganu, Sabtu lalu.
Kejadian itu dipercayai berlaku pada jam 10.45 malam di hadapan Pejabat Parti Amanah Negara, Jalan Persinggahan, Ladang Tok Pelam selepas Ahli Parlimen Shah Alam itu menghadiri pertemuan secara tertutup di situ.
AKAN MENYUSUL
