Orang asli Bateq: KPDNHEP hantar 10 matrik tan makanan

14 Jun 2019 • 2:55 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

GUA MUSANG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melalui program Bank Makanan menyumbangkan kira-kira 10 matrik tan bantuan makanan dan minuman untuk diagihkan kepada masyarakat orang asli Kuala Koh di sini hari ini.

Ketua Setiausahanya, Datuk Muez Abd Aziz berkata, sumbangan berkenaan dibawa masuk ke Pusat Op Bateq di pejabat Ladang Aring 10 di sini hari ini dengan bantuan kira- kira 20 konvoi pacuan empat roda.

"Hari ini 10 matrik tan beras, gula, tepung, roti, air mineral, buah- buahan, minyak masak dan pelbagai barangan keperluan lain kita serahkan kepada Jabatan Hal Ehwal Orang Asli untuk diagihkan.

"Kita harap sumbangan diberikan ini sekurang- kurangnya dapat menampung keperluan semasa mereka untuk jangka masa pendek," katanya ketika ditemui di pusat operasi berkenaan di sini hari ini.

Muez berkata, pihaknya juga mengalu-alukan sumbangan daripada mana-mana pihak termasuk korporat dan badan bukan kerajaan untuk membantu masyarakat orang asli di Kuala Koh.

"Bantuan-bantuan mengikut keperluan mereka seperti kain saring, kain pelikat, kit kebersihan dan yang berkaitan mungkin boleh disalurkan untuk manfaat mereka.

"Proses menyalurkan sebarang bantuan mudah dilakukan berikutan terdapat pusat pengumpulan bantuan awam yang diwujudkan khas di pusat operasi ini dan diuruskan Nadma," katanya.

Dalam pada itu, Muez juga tidak menolak kemungkinan memperluaskan program Food Bank berkenaan untuk manfaat orang asli selari dengan matlamat program berkenaan.