Menerusi Stadia, Google menerjah masuk ke dalam arena penstriman permainan video. Pada pandangan Google, konsol tidak diperlukan untuk generasi akan datang sebaliknya permainan distrim terus pada telefon pintar, tablet, komputer riba, televisyen pintar dan Chromecast. Beberapa maklumat baharu mengenai perkhidmatan Stadia telah dikongsi menerusi laman FAQ yang telah dikemaskini hari ini.

Stadia Controller juga disahkan boleh berfungsi sebagai alat kawalan USB biasa apabila tidak disambungkan kepada perkhidmatan Stadia. Pengguna boleh menyambungkannya kepada PC sebagai alat kawalan biasa sekiranya diperlukan.
Tambahan lagi Stadia akan menyokong mod rentas platform sekiranya pembangun berminat. Akhir sekali pada waktu ini masih tiada perancangan menyokong Google Daydream atau sebarang mod realiti maya.
Stadia akan dilancarkan pada bulan November ini di 14 negara iaitu Amerika Syarikat, UK, Kanada, Belgium, Finland, Denmark, Perancis, Jerman, Ireland, Itali, Belanda, Norway, Sepanyol, dan juga Sweden.

