Anggota 4U2C, One II meninggal dunia

Entertainment
22 Oct 2019 • 5:48 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

KUMPULAN 4U2C terkenal dengan lagu Fiona dianggotai oleh Datuk AC Mizal, Azam, Joe, Adik, Lan, Yanz dan Rin pernah menjadi kegilaan ramai ketika kemunculan album sulung mereka pada 1993.

Bagaimanapun beberapa tahun kemudian, 4U2C berpecah dengan menyaksikan penarikan diri beberapa anggotanya menyebabkan kekosongan diisi oleh Adiex, Aren, Charlie dan One II.

Hari ini, kumpulan berkenaan dikejutkan dengan berita sedih pemergian One II ke rahmahtullah.

Allahyarham One II atau nama sebenarnya, Nirwan Irwan yang masih bujang meninggal dunia akibat penyakit tibi.

Berita sedih itu dikongsi oleh AC Mizal di laman sosial Instagram miliknya.

“Salam semua, baru dapat berita bahawa sahabat saya, ahli kumpulan 4U2C baru saja meninggal dunia, sedih teramat aku bro, dengan pemergian kau, teringat zaman 4U2C dulu,” tulisnya.

Dalam entri itu, AC Mizal juga pengacara terkenal turut mengajak orang ramai untuk sama-sama mendoakan kesejahteraan roh Allahyarham rakannya itu.

“Allah lebih menyayangi kau, semoga kau ditempatkan bersama orang yang beriman, saya mohon kepada semua sama-samalah kita sedekahkan Al-Fatihah buat arwah, tenanglah kau di sana One 11,” katanya.

AC Mizal turut menarik perhatian netizen dengan memuat naik kulit album terakhir 4U2C dalam entri yang sama.

Suami kepada pelakon Datin Emylia Rosnaida itu juga berkongsi beberapa keping foto beliau ketika menziarahi One II di hospital semasa Allahyarham menerima rawatan.

Difahamkan jenazah Allahyarham One II, 44, akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Keramat, Hulu Kelang selepas solat Asar hari ini.

Rata-rata peminat turut berduka atas pemergian Allahyarham dan mendoakan rohnya dicucuri rahmat.