Peragut beg tangan milik pembantu jururawat diberkas

25 Mar 2020 • 5:19 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

GOMBAK – Polis menahan seorang lelaki warga Myanmar dipercayai terlibat dengan kes ragut beg tangan milik seorang pembantu jururawat di kawasan Rawang di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, lelaki terbabit berusia 20 tahun itu ditahan pada jam 2 petang.

“Kita berjaya menjumpai semula barang mangsa yang telah diragut. Siasatan lanjut mendapati suspek membantu keluarganya berniaga di Pasar Borong Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam kejadian pada jam 7.50 petang, Isnin lalu, mangsa berusia 21 tahun sedang membuka pintu pagar rumahnya di Bandar Baru Rawang sebelum didatangi oleh seorang lelaki dari arah belakang.

Lelaki itu telah meragut beg tangan mangsa yang berisi kad pengenalan, kad bank dan dokumen pejabat sebelum melarikan diri.

Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.