MARANG- Polis daerah ini mengambil inisiatif melantik 'penyampai maklumat rasmi' dalam kalangan penduduk tempatan bagi mengelakkan orang ramai keluar pada musim mencandat sotong, awal Mei depan.
Lantikan itu turut dilakukan di setiap lokasi yang dikenalpasti bakal menjadi tumpuan orang ramai yang masih berdegil keluar rumah
Ketuanya, Deputi Superintenden Mohd Zain Mat Dris berkata, mereka yang dilantik sudah diberi penjelasan bahawa hanya individu yang memiliki kad Persatuan Nelayan serta pemegang lesen menangkap ikan yang sah sahaja dibenarkan turun ke laut.
"Walaupun musim mencandat belum tiba, tetapi pemantauan mendapati sudah ramai yang menjalankan aktiviti berkenaan terutama daripada kumpulan yang tidak dibenarkan.
"Kami mendapati majoriti yang melakukan aktiviti tersebut adalah dalam kalangan yang sudah memiliki pekerjaan tetap serta memperoleh gaji seperti biasa dan memberi alasan pergi mencandat sekadar 'suka-suka' kerana bosan duduk di rumah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata, mereka yang keluar melakukan aktiviti mencandat akan terus dikenakan tindakan undang-undang.
Sementara itu, Mohd Zain berkata, pihaknya mendapati kadar pematuhan orang ramai di daerah ini semakin merosot berkemungkinan kerana mereka menganggap berada di 'zon selamat' daripada wabak koronavirus (Covid-19) yang tidak merekodkan banyak kes.
"Mereka tidak takut untuk merayau di sekitar daerah dan masih ramai memberi alasan tidak munasabah setiap kali ditahan," katanya.
