Satu lagi korban Covid-19, jumlah kematian 20

25 Mar 2020 • 10:53 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

KUALA LUMPUR - Satu lagi kes kematian berkaitan koronavirus (Covid-19) dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat penularan jangkitan itu di Malaysia adalah 20 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Menerusi catatan terbaharu di laman Facebooknya, beliau berkata, kes kematian ke-20 itu merupakan kes ke-780 melibatkan lelaki warganegara Malaysia berumur 76 tahun yang telah menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling.

“Beliau telah dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai, Kelantan mulai 18 Mac 2020. Beliau disahkan meninggal dunia pada 4.35 petang, 25 Mac 2020. KKM (Kementerian Kesihatan) ingin mengucapkan takziah kepada ahli keluarga beliau,” menurut catatan itu.

Terdahulu, dalam sidang akhbar hari ini, Dr Noor Hisham berkata terdapat 172 kes baharu dilaporkan sehingga 12 tengah hari tadi menjadikan kes positif Covid-19 di Malaysia berjumlah 1,796 kes.

Berdasarkan siasatan awal, Dr Noor Hisham berkata, daripada 172 kes baharu yang dilaporkan itu, 71 kes adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan Ijtimak Tabligh di Masjid Sri Petaling, manakala baki 101 kes masih dalam siasatan. - Bernama


Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved