JOHOR BAHRU - Pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat berkuat kuasa tahun hadapan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik bukan Melayu, kata Exco Perpaduan, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr S Ramakrishnan.
Beliau turut mempersoalkan mengapa pengenalan tulisan khat itu dibuat sekarang selepas 62 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan sekiranya ia adalah sebahagian daripada budaya tempatan.
"Ia kelihatan seperti ketinggalan zaman. Adakah terdapat sebarang perundingan dengan pihak yang terlibat sejak keputusan untuk dimasukkan dibuat pada 2014?" katanya menerusi laman Facebook beliau.
Dr Ramakrishnan berkata, Kementerian Pendidikan jelas tidak mengendali isu tersebut dengan berhati-hati dan mengambil mudah perasaan ibu bapa.
Katanya, pendidikan dekat di hati semua masyarakat, dan memperkenalkan kaligrafi bahasa Arab dalam kalangan pelajar bukan Melayu menimbulkan pelbagai persoalan dan kebimbangan tentang apa yang berlaku seterusnya.
"Mari kita bentuk kurikulum sekolah yang memenuhi cabaran masyarakat berbilang kaum dan masa depan. Sekolah harus menjadi landasan perpaduan dan keharmonian.
"Satu sekolah rendah jenis kebangsaan bersama dengan sekolah Cina dan Tamil boleh berkumpul untuk menganjurkan program dan aktiviti yang dapat memupuk persahabatan sehingga perpaduan. Pada masa kini, ini nampaknya menjadi keutamaan terakhir," katanya.
Beliau berkata, Kementerian Pendidikan boleh menjadi ejen utama untuk memupuk perpaduan dan keharmonian dalam kalangan pelajar berbilang kaum di negara ini.
"Jadikan sekolah tempat untuk semua pelajar Malaysia dari pelbagai kaum dan agama untuk menerima kepelbagaian sebagai sebahagian daripada warisan kita.
"Ibu bapa tidak sabar-sabar menunggu berita tentang rancangan tindakan yang diambil oleh Kementerian Pendidikan ke arah ini," katanya.
Selain itu, katanya, sekolah seharusnya menjadi tempat untuk membangunkan bakat dan kebolehan tersembunyi, komunikasi dan kemahiran pelajar.


