Penuntut maut angkara kereta buat pusingan U

20 Nov 2019 • 2:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

SEREMBAN - Seorang penuntut kolej maut dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta di Jalan Pantai Batu 4 di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa, Muhammad Asyraf Mohd Arif, 19, yang menunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di beberapa anggota badan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan, Superintendan Ibrahim Mohd Abdul Kadir berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika kereta jenis Proton Saga membuat pusingan U secara mengejut menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak dan merempuhnya.

image is not available
Keadaan motosikal mangsa selepas kemalangan berkenaan.

"Pada mulanya kereta itu parkir di bahagian kiri bahu jalan tetapi tiba-tiba kereta itu bergerak dan membuat pusingan U menyebabkan mangsa tidak sempat berhenti lalu melanggar bahagian pintu sebelah kanan pemandu.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya dibawa Ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk bedah siasat.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.