ALOR SETAR - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah memaklumkan sebanyak 119 sekolah termasuk sekolah agama sesi petang melibatkan seramai 56,874 pelajar diarah tutup esok kerana jerebu dan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan itu melebihi 200.
Setakat jam 4 petang tadi, kawasan tersebut didapati mencatatkan bacaan IPU 211 iaitu sangat tidak sihat.
Dalam kenyataan di sini hari ini, sebanyak 90 sekolah di daerah Kulim melibatkan seramai 49,598 pelajar seperti Kolej Tingkatan Enam Kulim, Kolej Vokasional Kulim, Maktab Mahmud Kulim, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Aik Chee dan lain diarah tutup.
Turut ditutup, 29 sekolah di Bandar Baharu membabitkan seramai 7,276 pelajar termasuklah Maktab Mahmud Bandar Baharu, SJKC Cheong Chen, SJKC Kwang Hwa, SJKC Kwang Hwa Ski, SJKC Poay Chai dan banyak lagi.
Melalui kenyataan itu, JPN Kedah akan memaklumkan sebarang perubahan dari semasa ke semasa.
"Selain itu, pihak sekolah diingatkan supaya mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan serta mengutamakan kesihatan murid dan guru sepanjang masa," katanya.
Terdahulu, Exco Pendidikan, Dr Salmee Said berkata, sebanyak 17 sekolah iaitu enam sekolah menengah dan 11 sekolah rendah yang mempunyai sesi petang di Kulim diarah tutup hari ini.
Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.
ARTIKEL BERKAITAN: Jerebu: 1,484 sekolah di tujuh negeri ditutup

