61 orang dari satu kampung dijangkiti Covid-19

LocalPolitics
26 Mar 2020 • 9:07 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kerajaan memutuskan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid Simpang Renggam, Kluang, Johor selepas kawasan berkenaan mencatatkan 61 kes positif Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan) yang juga Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataannya berkata, perintah itu berkuat kuasa mulai tengah malam ini sehingga 9 April 2020.

"PKD ini melibatkan 3,570 orang penduduk tempatan yang terdiri daripada 650 keluarga," katanya.

Menurutnya, dengan pelaksanaan PKPD, semua penduduk tempatan dan pelawat yang berada di kedua-dua kawasan tidak dibenarkan keluar rumah sepanjang tempoh penguatkuasaan.

"Pelawat dan bukan penduduk tempatan tidak dibenar masuk ke kawasan tersebut dan semua aktiviti perniagaan dihentikan," katanya.

Beliau berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan membekalkan makanan asas kepada semua penduduk tempatan.

"Bekalan makanan asas mencukupi untuk tempoh 14 hari," katanya.