Kerentanan WhatsApp Membolehkan Perisian Hasad Israel Dipasang Pada Telefon Pintar

14 May 2019 • 10:10 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

WhatsApp mempunyai lebih dari 1.5 bilion pengguna aktif harian . Selain penghantaran mesej, ia juga boleh digunakan untuk melakukan panggilan suara menggunakan data internat yang mengurangkan kejutan bil apabila berada di luar negara. Menurut laporan Financial Times pagi ini, kerentanan pada panggilan suara WhatsApp membolehkan perisian hasad buatan firma Israel dipasang tanpa disedari pengguna.

image is not available
Perisian hasad Pegasus yang dibangunkan oleh NSO Group membolehkan peranti pengguna diintip. Amat merisaukan ia boleh dipasang tanpa pengguna mengangkat panggilan suara di dalam WhatsApp. Log panggilan ini juga tidak dapat dilihat pada peranti penerima. Kerentanan panggilan suara WhatsApp ini melibatkan kedua-dua platform Android dan iOS.

Pegasus membolehkan kamera dan mikrofon peranti diaktifkan bagi membolehkan intipan. Selain itu ia turut boleh membaca emel, mesej serta data lokasi peranti pengguna. Kewujudan kerentanan sekuriti yang serius ini disedari oleh WhatsApp pada awal bulan ini.

Jurutera WhatsApp telah menampak kerentanan ini pada pelayar mereka pada hari Jumaat lalu dan memberikan tampalan sekuriti aplikasi semalam. Mengemaskini aplikasi anda hari ini amat kami sarankan.

NSO Group mengiklankan penggunaan Pegasus kepada agensi pengintipan Barat dan Timur Tengah. Ia dipasarkan sebagai alat untuk mengintip kegiatan pengganas. Namun begitu ia telah digunakan untuk mengintip peguam hak asasi manusia yang membantu wartawan di Mexico dan juga individu yang menentang regim Arab Saudi.