Lelaki maut kereta bertembung lori

29 Jun 2019 • 11:47 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki maut selepas tersepit di tempat duduk pemandu apabila kereta dinaikinya bertembung dengan sebuah lori di Lebuhraya Segamat - Kuantan, Segamat petang semalam.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Segamat, Pegawai Bomba Kanan II, Mansor Mohamad berkata, pihaknya menerima makluman berhubung nahas itu pada jam 4.04 petang.

Menurutnya, dalam kejadian itu, kereta jenis Honda Civic yang dipandu mangsa berusia 35 tahun itu turut membawa seorang kanak-kanak lelaki tetapi disahkan hanya mengalami kecederaan ringan.

“Setibanya bomba di tempat kejadian, sebuah kereta dan sebuah lori telah bertembung. Kami dapati kereta dipandu dari arah Segamat manakala lori pula dari arah Muadzam, Pahang.

“Bomba kemudiannya mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan mangsa (pemandu) dan anak mangsa berusia sembilan tahun yang berada di belakang tempat duduk pemandu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mansor berkata, kanak-kanak itu kemudiannya dihantar ke Hospital Segamat untuk mendapatkan rawatan manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis.

“Dalam kemalangan ini, pemandu lori tidak mengalami kecederaan dan telah dibawa ke balai polis berhampiran bagi tindakan selanjutnya,” katanya.