KUALA LUMPUR - Menyediakan bilik ala hotel bajet sebagai tempat melempias nafsu dibongkar Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Kegiatan persundalan di sebuah premis terletak di Taman Maluri Cheras, di sini, ini diserbu pada jam 9.50 malam tadi.
Pegawai Turus D7 Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Rohazah Alwi berkata, seramai lima wanita warga asing berusia lingkungan 29 hingga 37 tahun disyaki pelacur berjaya ditahan ketika sedang menunggu pelanggan.
Menurutnya, semakan mendapati tiga daripada wanita ini adalah warga Thailand dan selebihnya warga Indonesia.

"Selain itu, polis turut menahan penjaga premis seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun.
"Pelbagai barang juga dirampas iaitu kondom, tuala, anak kunci, kad perniagaan serta wang tunai," katanya kepada Sinar Harian, hari ini
Rohazah berkata, siasatan mendapati premis yang telah beroperasi selama satu minggu itu dipercayai menawarkan khidmat seks wanita asing dengan bayaran RM150 untuk satu sesi selama 45 minit.
Katanya, premis tidak berlesen ini menjadikan rumah persundalan tersebut dengan menyediakan bilik-bilik ala hotel bajet untuk tujuan aktiviti seks di mana wanita terbabit akan menanti pelanggan di dalam bilik.
"Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksasan, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 39B Akta Imigresen 1959/63," katanya.
