Pindaan Akta KWSP dilulus

4 Dec 2019 • 7:11 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (Pindaan) 2019 yang membenarkan pemindahan sebahagian caruman KWSP suami secara sukarela kepada akaun KWSP isteri atau isteri-isterinya.

Pindaan itu antara lain memperuntukkan kadar caruman yang akan dipindahkan ialah sebanyak dua peratus daripada caruman ahli KWSP yang memilih untuk memindahkan carumannya kepada isteri atau isteri-isterinya.

Ini adalah langkah kerajaan untuk melaksanakan fasa ketiga Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri) yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 8 Ogos tahun lepas.

Insentif i-Suri diumum pada perbentangan Belanjawan 2020 sejajar dengan manifesto kerajaan Pakatan Harapan iaitu caruman KWSP untuk suri rumah.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu, berkata pemindahan caruman dua peratus daripada 11 peratus KWSP suami kepada akaun isteri adalah secara sukarela.

Amiruddin menjelaskan pemindahan wang caruman ini hanya akan dihentikan apabila berlaku kematian atau penceraian dengan syarat ia dimaklumkan kepada pihak KWSP.

Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (Pindaan) 2019 antara lain juga bertujuan mengemas kini peruntukan bagi menghalang majikan yang tidak membayar caruman daripada meninggalkan negara tanpa perintah mahkamah serta membenarkan ahli yang telah mencapai 55 tahun untuk membuat pengeluaran hilang upaya atau pengeluaran meninggalkan negara. - Bernama


Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved