JOHOR BAHRU - Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar menerima Darjah Kebesaran Sikatuna (Order of Sikatuna) yang membawa gelaran Datu daripada Presiden Filipina, Rodrigo Duterte.
Darjah kebesaran tersebut diterima baginda Tuanku dalam majlis yang berlangsung di Istana Malacanang, Manila, Filipina, semalam, sempena lawatan di atas jemputan peribadi Presiden Filipina itu.
Memetik posting Facebook rasmi baginda, Sultan Johor turut berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Pertama Dato' Sri Mulia Sultan Ibrahim Johor (SMIJ) kepada Presiden Filipina.
Terdahulu, baginda Tuanku berangkat tiba di Istana Malacanang pada jam 5 petang, sebelum menandatangani buku pelawat.
Keberangkatan tiba Sultan Johor kemudian disambut oleh Presiden Filipina dan bergambar bersama sebelum mengadakan pertemuan tertutup yang berlangsung selama hampir sejam.
Baginda Tuanku Sultan bersama delegasi kemudian diraikan dalam satu majlis santapan malam bersama Presiden Filipina, selain saling bertukar cenderahati serta merakam gambar kenangan.
Sempena lawatan itu, Presiden Filipina Rodrigo Duterte turut menghadiahkan sebuah potret lukisan wajah Sultan Johor.

