PM Mahathir tiba di Tokyo untuk lawatan kerja tiga hari

29 May 2019 • 9:42 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

TOKYO - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda hari ini untuk lawatan kerja selama tiga hari ke Jepun bagi menghadiri Persidangan Antarabangsa ke-25 Mengenai Masa Depan Asia, atau Persidangan Nikkei.

Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mendarat pada kira-kira pukul 9.30 malam waktu tempatan Rabu. Malaysia adalah satu jam di belakang Jepun.

Jadual acara Dr Mahathir di Jepun merangkumi senarai yang padat, mesyuarat dan temubual media, bermula dengan menyampaikan ucaptama pada persidangan pembukaan Nikkei esok.

Turut mengalu-alukan ketibaan beliau di lapangan terbang itu ialah Naib Menteri Parlimen Jepun, Kenji Yamada; Duta Jepun ke Malaysia, Makio Miyagawa dan isteri Yuko Miyagawa; dan Pengarah Kedua bagi Asia Tenggara, Kementerian Luar Negeri Jepun, Shingo Miyamoto.

Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya dan Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Kennedy Jawan dan isteri, Datin Josephine Anak Dagang turut hadir. Pada Persidangan Nikkei, ucapan Dr Mahathir akan berkisar pada tema "Seeking a New Global Order - Overcoming the Chaos".

Satu lagi acara kunjungan Dr Mahathir ialah pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya, Shinzo Abe, serta beberapa perbincangan dengan pemimpin perniagaan Jepun dan kelab wartawan asing.

Beliau juga dijadual menyampaikan ucapan mengenai situasi semasa Malaysia dan jangkaan pelaburan dari Jepun semasa Dialog Perniagaan Malaysia-Jepun, anjuran bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (Jetro).

Dr Mahathir dijangka pulang ke tanah air pada Jumaat. -Bernama


Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved