KUALA LUMPUR - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berpendapat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Fuziah Salleh yang perlu meminta maaf, bukan dirinya.
Menurutnya, Fuziah tanpa rasa bersalah berbohong, memutar belit kenyataannya dan menuduh beliau mendakwa permohonan logo halal kini diletakkan di bawah Kementerian Kewangan.
Tegas Ismail Sabri, Ahli Parlimen Kuantan itu mungkin tidak dapat mendengar dengan jelas ucapannya malah turut menyindir Fuziah menghadapi masalah pendengaran akibat terdedah kepada radiasi toksik dari Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas).
“Saya hanya mengatakan dalam ucapan saya bahawa “Saya difahamkan akan dipindahkan di bawah HDC (Halal Industry Development Corporation), bukan ‘kini’ seperti yang dituduh oleh Fuziah Salleh. Ia bermakna kenyataan saya itu belum pasti.
“Fuziah Salleh tak faham antara ‘akan’ dan ‘kini’. Saya juga menyebut ‘ingin meletakkan di bawah HDC’ bermakna masih belum berlaku. Mungkin Fuziah Salleh tak dapat mendengar dengan jelas ucapan saya.
“Mungkin juga Fuziah Salleh menghadapi masalah pendengaran atau pemahaman akibat terdedah kepada radiasi toksik dari kilang Nadir Bumi Lynas di Kuantan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Fuziah berkata, Ismail Sabri perlu tarik balik kenyataan atau berdepan tindakan undang-undang dan mendakwa kenyataannya berniat jahat bagi menanam ketakutan dalam kalangan orang Melayu Islam kononnya kerajaan Malaysia baharu dipimpin DAP.
Menurutnya, persijilan logo halal masih tertakluk di bawah bidang kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan tidak pernah diuruskan oleh badan atau agensi lain.
ARTIKEL BERKAITAN: Kenyataan Ismail Sabri berniat jahat: Fuziah
Dalam pada itu, bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu berkata, Fuziah juga perlu memohon maaf kepada seluruh warga Kuantan malah seluruh negara kerana menipu rakyat tentang Lynas yang kononnya membahayakan kesihatan dan nyawa rakyat.
“Sekarang pihak kerajaan PH sudah membuat keputusan untuk kekalkan Lynas malah difahamkan sisa Nadir Bumi akan diproses di dalam negara. Di mana Fuziah Salleh? Kenapa diam? Kenapa tidak menangis lagi?
“Jika Fuziah Salleh bermaruah dan jujur, beliau sepatutnya meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Kuantan.
“Ini kerana beliau menyebabkan penduduk Kuantan dan Indera Mahkota bertahun-tahun berada dalam ketakutan akibat hasutan dan pembohongan beliau mengenai bahaya kilang Lynas tersebut,” katanya.

