Terengganu nafi lima individu dirawat HSNZ akibat koronavirus

27 Jan 2020 • 2:37 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

SHAH ALAM - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu menafikan kenyataan kononnya lima individu yang baru kembali dari Wuhan telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu kerana disyaki dijangkiti koronavirus.

Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus, sehingga 26 Januari 2020, tiada sebarang kes yang disyaki mengalami jangkitan koronavirus yang dimasukkan ke mana-mana hospital di negeri Terengganu.

"Kami meminta semua lapisan masyarakat supaya sentiasa berhati-hati dan tidak menularkan berita yang tidak sahih yang boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Nor Azimi mengulas kenyataan yang dimuat naik di laman sosial Facebook Gabungan Anak Terengganu (Original) oleh individu menggunakan nama "Ali Dapicey" yang kononnya lima individu baru kembali dari Wuhan telah dimasukkan ke HSNZ, Kuala Terengganu kerana disyaki dijangkiti koronavirus.

Sementara itu, Dr Nor Azimi berkata, secara umumnya, bagi mengurangkan risiko jangkitan saluran pernafasan, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi.

Beliau menyarankan orang ramai kerap mencuci tangan, mengamalkan etika batuk yang betul dan mengelakkan dari mengunjungi tempat tumpuan ramai serta bergaul rapat dengan mana-mana individu disyaki mempunyai gejala virus berkenaan.


Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved