Kegagalan sistem brek punca lif jatuh di PPR Kerinchi

28 Aug 2019 • 1:02 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

KUALA LUMPUR - Kementerian Wilayah Persekutuan mengesahkan kegagalan sistem brek berfungsi dengan baik merupakan punca insiden lif jatuh di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Pantai Dalam di sini pada 2 Ogos lepas.

Menterinya, Khalid Abd Samad berkata, salah satu komponen dalam sistem tersebut mengalami kerosakan dan menyebabkan ia tidak dapat mencengkam lif dengan baik.

Menurutnya, kerosakan itu dikesan Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) selepas melakukan siasatan terhadap lif yang terlibat dalam insiden berkenaan.

“Pada hari itu, brek itu tidak bergungsi oleh kerana plunger (komponen dalam sistem brek lif) tersekat. Bila tersekat maka brek tidak mencengkam. Lif berhenti, brek tak cengkam, itu sebab lif jatuh.

ARTIKEL BERKAITAN: Lapan cedera lif jatuh dari tingkat lima PPR Kerinchi

“DOSH sudah melakukan siasatan forensik, guna kotak hitam dan dapat semua maklumat. Keseluruhan sistem brek berfungsi dengan baik, cuma plunger itu saja tersekat. Ia tidak bergerak kerana satu bahagiannya telah terhakis,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Menara 1 Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini pagi tadi yang turut dihadiri Ketua Pengarah DOSH, Omar Mat Piah dan Pengarah Bahagian Forensik DOSH, Salina Tukimin.

Lapan individu cedera apabila lif dinaiki mereka mengalami kerosakan dan jatuh dari tingkat lima di PPR Kerinchi, Pantai Dalam baru-baru ini.

Kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu menyebabkan empat mangsa termasuk seorang wanita dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun patah kaki, manakala, empat lagi mangsa cedera di pergelangan kaki.

Dua hari kemudian, Kementerian Wilayah Persekutuan menegaskan pihaknya akan memastikan siasatan menyeluruh dibuat bagi mencari punca sebenar insiden berkenaan.

Khalid berkata, pihaknya juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati cuai dalam kes itu.

"Kita kena tunggu hasil siasatan daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) serta kilang pembekal lif itu untuk kita dapatkan penjelasan bagaimana perkara sebegini (lif jatuh) boleh berlaku.

"Sedangkan rekaan lif (di PPR Kerinchi) merupakan satu rekaan yang tidak memungkinkan ia berlaku (lif boleh jatuh)," katanya.

AKAN MENYUSUL