Inti pati perbicaraan Najib minggu ini

19 Jul 2019 • 4:13 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

KUALA LUMPUR - Minggu ini, nama ahli perniagaan yang sedang diburu, Low Taek Jho, lebih dikenali sebagai Jho Low, disebut secara langsung buat kali pertama dalam perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd yang dihadapi Datuk Seri Najib Tun Razak, mengaitkan hubungannya dengan bekas perdana menteri itu.

Perbicaraan itu turut menimbulkan persoalan dari mana datangnya wang RM42 juta dalam akaun Najib apabila saksi mendedahkan mereka tidak tahu bagaimana wang itu ada dalam akaun Ihsan Perdana Sdn Bhd dan bagaimana Najib membelanjakan RM3.3 juta hanya dalam sehari di De Grisogono, butik barang kemas mewah Swiss, di Itali.

Berikut sebahagian daripada keterangan yang diberikan saksi minggu ini:

Hari ke-37 (15 Julai):

Naib presiden kanan Ambank bertanggungjawab dalam proses kebenaran kad kredit dan pengurusan penipuan Yeoh Eng Leong mendedahkan dua kad kredit kepunyaan Najib digunakan untuk berbelanja sejumlah RM3.3 juta dalam masa sehari, di De Grisogono, butik barang kemas mewah Swiss, di Itali, pada 8 Ogos, 2014.

Saksi ke-47 pendakwaan itu berkata RM456,360.51 dibelanjakan menggunakan kad kredit Visa Platinum manakala RM2,864,309.54 lagi menggunakan kad kredit Master Platinum.

Saksi itu juga berkata pada awal Januari 2015, sejumlah RM466,330.11 lagi dibelanjakan di Chanel, sebuah butik eksklusif di Honolulu, Amerika Syarikat, menggunakan kedua-dua kad itu dan kad berkenaan juga digunakan untuk membayar sejumlah RM127,017.46 di Shangri-La Hotel di ibu negara Thailand.

Semasa disoal balas peguam Harvinderjit Singh, yang mewakili Najib, saksi itu berkata berdasarkan penyata kad kredit bertarikh April 2015, pembayaran terakhir dibuat oleh seorang individu bernama Nik Faisal Ariff Kamil (bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC).

Yeoh juga berkata kesemua bayaran dibuat melalui akaun semasa Ambank Najib yang berakhir dengan nombor 880, dan menegaskan bahawa Najib tidak mengambil sebarang tindakan berhubung penyata kad kredit itu.

Pengurus Unit Rentas Ambank di Wisma Amfisrt, Petaling Jaya, Wedani Senen, yang dipanggil semula untuk memberi keterangan, memberitahu mahkamah RM50 juta yang dipindahkan ke dalam akaun Najib pada 2014 bukanlah ‘derma atau hadiah’.

Saksi ke-24 pendakwaan itu berkata wang itu diremit oleh dua buah syarikat, iaitu Blackrock Commodities Global Limited dari Singapura dan Vista Equity International Partners dari Seychelles.

Ahli bank itu berkata dua transaksi itu menyenaraikan pemindahan wang ke dalam akaun bekas perdana menteri itu sebagai ‘pinjaman’.

Beliau mengesahkan senarai dana yang dipindahkan ke dalam akaun Ambank Najib adalah daripada Blackrock Commodities Global Ltd £750,000 (RM4,093,500) pada 19 Jun, 2014; daripada Vista Equity International Partners £5,750,000 (RM30,320,250) pada 21 Okt, 2014; daripada Vista Equity International Partners £694,343.62 (RM3,624,273.7) pada 21 Nov, 2014; daripada Vista Equity International Partners £2,216.01 (RM11,567.57) pada 24 Nov, 2014; daripada Vista Equity International Partners £ 995,000 (RM5,360,065) pada 5 Dis, 2014; dan daripada Vista Equity International Partners £ 1,264,462.29 (RM6,809,129.43) pada 18 Dis, 2014.

Seorang peguam kanan, Mohd Shuhaimi Ismail, memberitahu mahkamah SRC International Sdn Bhd perlu membayar RM9.2 bilion kepada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) di bawah kemudahan pembiayaan Bai Al-Inah bagi pinjaman RM4 bilion yang diperolehnya pada 2011 dan 2012.

Mohd Shuhaimi, seorang peguam di Messrs. Hisham, Sobri & Kadi, firma guaman yang terbabit dalam mengendalikan dokumentasi pembiayaan antara KWAP dan SRC, berkata jumlah itu adalah harga jualan yang ditetapkan oleh KWAP ke atas SRC, termasuk faedah 12 peratus, bagi kedua-dua pinjaman itu.

"Harga jualan dalam transaksi itu merujuk kepada jumlah pembiayaan iaitu RM2 bilion, termasuk keuntungan yang dipersetujui pada akhir tempoh 10 tahun berdasarkan kadar yang telah dipersetujui dalam perjanjian jualan, dan kadar faedah adalah 12 peratus.

"Jadi, harga jualan yang dikenakan oleh KWAP ke atas SRC adalah RM4.6 bilion bagi pinjaman pertama dan RM4.6 bilion (lagi) bagi pinjaman kedua,” katanya.

Mohd Shuhaimi, 50, yang juga pengarah Bahagian Undang-undang Bandar Malaysia Sdn Bhd, berkatad SRC dikehendaki membuat pembayaran dalam tempoh 10 tahun sehingga 2021 bagi pinjaman pertama, manakala bagi pinjaman kedua pula, sehingga 2022.

Saksi ke-48 pendakwaan itu juga berkata berdasarkan kontrak jual beli, SRC dikehendaki membuat pembayaran menurut masa dan tarikh yang telah dipersetujui itu. -Bernama


View Original Article