Perdana Menteri Mengumumkan Fokus Kepada Teknologi Lestari Solar Dengan Projek-Projek Baru

TechnologyDigital
27 Feb 2020 • 5:58 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Sewaktu pengumuman pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan tadi, Perdana Menteri interim, Tun Dr. Mahathir telah membuat beberapa pengumuman mengenai fokus kepada pembangunan teknologi tenaga lestari, khususnya tenaga solar.

Pertama ialah Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (MESTECC) dilaporkan akan membuka bidaan untuk pembinaan sebuah stesen janakuasa tenaga solar dengan output 1400MW yang bernilai RM5 bilion.

Buat masa ini, butiran seperti bilakah bidaan ini akan dijalankan, bilakah stesen tersebut dijangka akan beroperasi dan lokasi stesen janakuasa tersebut tidak diketahui lagi.

Pengumuman kedua pula adalah berkenaan syarikat GLC seperti Tenaga Nasional Berhad yang akan membangunkan projek lampu jalan LED, grid transmisi dan juga pemasangan panel solar diatas bumbung yang dianggarkan akan bernilai RM13 bilion.

Peralihan fokus daripada penggunaan bahan api fosil seperti arang dan petroleum kepada tenaga lestari dilihat sebagai satu permulaan yang baik untuk mengurangkan kadar pencemaran di negara ini. Diharap dengan ini, pokok-pokok di sekitar negara juga tidak perlu digondol dibawah nama pembangunan juga.