G25 berhentilah bangkit isu sensitif

13 Jan 2020 • 9:40 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

SHAH ALAM - Penerbit Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub menyarankan individu dalam kumpulan bekas penjawat awam kanan, G25 supaya berhenti membangkitkan isu sensitif yang boleh membangkitkan kemarahan rakyat di negara ini.

Jelas beliau, kumpulan itu sepatutnya menggunakan kebijaksanaan mereka daripada cuba menghangatkan lagi sentimen agama dengan mempersoal kewujudan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Saranan saya kepada bijak pandai dalam G25, tolong gunakan kebijaksanaan kalian untuk tidak terus mengasak isu Jakim dan perkara-perkara lain yang tidak mengikut Perlembagaan buat masa ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 'G25 tak perlu jadi hero, jangan kelirukan umat Islam'

“Masa tidak sesuai. Jangan barakan keadaan. Boleh tunggu sekejap? Bukan boleh mati pun jika tidak bincang. Biar reda suhu dulu,” katanya di sini semalam.

Kelmarin, G25 menerusi laporan bertajuk ‘Perkara Pentadbiran Mengenai Islam’ menyatakan tiada peruntukan dalam Perlembagaan untuk MKI dan Jakim ditubuhkan di peringkat nasional.

Laporan G25 dakwa penubuhan MKI dan Jakim tidak ikut Perlembagaan

Kumpulan itu turut mendakwa, oleh sebab penubuhan dua agensi itu tidak melibatkan Parlimen dan Perkara 76, apa juga nasihat dan cadangan yang dikeluarkan oleh kedua-dua agensi itu akan kekal sebagai nasihat.