PBB mahu dunia isytihar perang ke atas Covid-19

14 Mar 2020 • 8:50 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

GENEVA - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mahu dunia mengisytiharkan perang ke atas virus Covid-19, hanya dua hari selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan wabak itu sebagai pandemik.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berkata, setiap negara mempunyai tanggungjawab untuk meningkatkan langkah pencegahan dengan melaksanakan strategi berkesan, mengaktifkan segala sistem tindak balas kecemasan, termasuk keupayaan sistem mengesan dan penjagaan pesakit.

"Kita mesti mengisytiharkan perang terhadap virus ini," lapor agensi berita Xinhua.

Katanya, selain menjadi krisis kesihatan awam, virus itu turut menjejaskan ekonomi dunia

Beliau turut memberi amaran, dunia bakal menyaksikan pasaran kewangan terjejas teruk akibat ketidakpastian, rantaian bekalan global terganggu, pelaburan dan permintaan pengguna merosot dan risiko meningkatnya kemelesetan ekonomi.

Kata Guterres, ahli ekonomi PBB menganggarkan krisis Covid-19 boleh mengakibatkan ekonomi dunia tahun ini kerugian sekurang-kurangnya AS$1 trilion atau mungkin lebih.

"Ini adalah masa untuk bertindak dengan lebih bijak dan cermat, bukannya panik. Walaupun situasi itu diklasifikasikan sebagai pandemik, ia adalah satu keadaan yang dapat kita kawal," katanya.

"Kita boleh melambatkan penularan, mencegah jangkitan dan menyelamatkan nyawa, tetapi ia memerlukan tindakan bersepadu semua pihak di seluruh dunia," katanya. - Bernama


Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved