Dahulukan prinsip rukun negara dalam pertuturan, tindakan

29 Aug 2019 • 8:55 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

KUALA LUMPUR - Keamanan merupakan nikmat tidak ternilai dikecapi sepanjang 62 tahun kemerdekaan negara dengan masyarakatnya yang berbilang kaum hidup bersatu padu serta saling hormat-menghormati terhadap budaya dan pegangan agama masing-masing.

Mutakhir ini, keamanan dan perpaduan itu diancam dengan pelbagai isu menyentuh sensitiviti kaum dan agama dibangkitkan individu dan pihak tertentu yang dilihat mengabaikan prinsip Rukun Negara, satu ideologi digarap ekoran tercetusnya peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Tanggal 31 Ogos ini, genaplah 49 tahun Rukun Negara diisytiharkan, pada 31 Ogos 1970, yang menjadi kunci kepada keharmonian dan perpaduan kaum dalam memastikan kejayaan dan kestabilan Malaysia.

Ia menggariskan lima prinsip - Kepercayaan kepada Tuhan; Kesetiaan kepada Raja dan Negara; Keluhuran Perlembagaan; Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan.

Justeru, Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) Halim Ishak menyeru semua pihak khususnya ahli politik dan tokoh dikenali umum untuk kembali kepada prinsip Rukun Negara bagi mengelak perpaduan dan keharmonian dibina selama ini musnah akibat sikap kejahilan dalam hidup bermasyarakat.

Beliau berkata, semua pihak perlu mendahulukan lima prinsip Rukun Negara dalam setiap pertuturan dan tindakan mereka supaya tidak mengguris perasaan dan membangkitkan kemarahan kaum lain.

Merujuk kepada insiden mengibar Jalur Gemilang secara terbalik dan keceluparan sesetengah pihak dalam membuat kenyataan baru-baru ini, Halim berkata ia merupakan tindakan tidak bertanggungjawab yang perlu dijadikan pengajaran kepada semua.

"Tindakan dan kenyataan ahli politik dan tokoh dikenali ramai diperhatikan rakyat. Meminta maaf terhadap perkara yang dilakukan tidak akan mampu mengekang kerosakan telah dilakukan, mereka sepatutnya berfikir dahulu sebelum membuat atau menyatakan sesuatu," katanya kepada Bernama.

Sambil melahirkan rasa kecewa terhadap perkara seumpama itu, beliau berkata usaha yang dilakukan pelbagai pihak termasuk MCCF dalam menjalankan program memupuk perpaduan akan menjadi sia-sia sekiranya prinsip Rukun Negara tidak dihormati rakyat.

Halim turut menekankan kepentingan meningkatkan pendidikan sivik dan sejarah di sekolah yang mampu mewujudkan jati diri serta menyayangi negara dalam kalangan rakyat pada awal usia.

"Sains dan teknologi penting bagi pembangunan negara, namun mereka yang memahami sejarah dan mempunyai kesedaran sivik, hati mereka tidak akan bergolak daripada taat dan setia kepada negara," katanya.

Pengarah Bahagian Kesepaduan Sosial dan Integrasi Nasional, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Mohd Khalil Ahmad berkata prinsip Rukun Negara bukannya sekadar untuk dihafal, namun perlu difahami serta diamalkan setiap warganegara bagi menjamin kerukunan hidup bermasyarakat.

"Rukun Negara ini lengkap merangkumi segala aspek kehidupan, dari segi agama, Islam walaupun agama rasmi, agama lain boleh diamalkan oleh penganut lain dengan bebas. Kita juga hidup dalam sistem Raja Berperlembagaan yang kita perlu curahkan taat setia kepada raja dan negara.

"Kita juga ada Perlembagaan yang sebenarnya bukan hanya menjurus ke arah hak keistimewaan orang Melayu, tetapi hak keistimewaan kaum lain turut diberikan kepentingan. Masyarakat juga perlu patuhi undang-undang, berbudi bahasa dan bersopan santun dalam segala aspek kehidupan, barulah hidup akan harmoni," katanya.

Beliau berkata sekiranya prinsip itu benar-benar dipraktikkan setiap rakyat, tidak akan timbul masalah seperti mengganggu gugat hak keistimewaan kaum lain dan menimbulkan isu sensitif dari segi agama, bahasa serta budaya kerana mereka saling hormat-menghormati dan bertoleransi antara satu sama lain demi kepentingan negara.

Mohd Khalil turut menggesa masyarakat supaya tidak berkongsi berita, video atau gambar tidak sahih di media sosial sehingga menarik komen negatif yang boleh mencetuskan perbalahan antara kaum.

-- BERNAMA