Warga Bangladesh menyusup longkang gagal lolos diri

12 May 2020 • 5:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

PETALING JAYA - Cubaan seorang lelaki warga Bangladesh meloloskan diri dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Pasar Jalan Othman dengan menyusupi longkang di Jalan 4/37 di sini hari ini mengundang padah.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, tindakan suspek berusia 31 tahun itu berjaya dikesan kira-kira jam 6.05 pagi.

"Hasil pemeriksaan polis mendapati lelaki terbabit telah menjalani ujian saringan awal Covid-19 pada Isnin.

"Lelaki terbabit juga didapati mempunyai surat perintah kuarantin sehingga 23 Mei," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

image is not available
Polis menahan seorang lelaki warga Bangladesh yang cuba meloloskan diri dari kawasan PKPD Pasar Jalan Othman, Petaling Jaya hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988, Seksyen 15 APPPB 1988 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Dalam perkembangan lain, seramai 1,400 orang termasuk 376 warga asing di PKPD Pasar Jalan Othman telah disaring Covid-19 setakat semalam.

"Pada masa yang sama, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah membuat penjadualan agihan barang makanan serta ubat-ubatan kepada penduduk kawasan terbabit," katanya.

Tambahnya, sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan PKPD Pasar Jalan Othman yang beroperasi 24 jam di talian 013-2666165.

Justeru, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan penduduk di kawasan berkenaan agar bersabar dan sentiasa memberikan kerjasama sepenuhnya kepada semua agensi yang terlibat.


Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved