Pasar Borong Bahau dibenarkan beroperasi

29 Apr 2020 • 9:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

JEMPOL - Penduduk di sekitar Bahau masih boleh mendapatkan bekalan bahan mentah di Pasar Borong Bahau selepas Pasar Awam Bahau dan premis sekitarnya ditutup sehingga 10 Mei depan susulan pengesanan kes positif koronavirus (Covid-19).

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jempol (MPJL), Raja Norazli Raja Nordin berkata, bagaimanapun pasar itu dibenarkan beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang diperketatkan.

"Operasi pasar itu bermula jam 6 pagi hingga 12 tengah hari dan kemasukan pengunjung ke pasar tersebut tetap dikawal oleh anggota polis dan Rela bertugas, namun ia bergantung kepada keadaan di dalam pasar berkenaan.

"Jika berlaku kesesakan dalam satu-satu masa, kemasukan pelanggan akan dihentikan seketika, namun berdasarkan tinjauan pagi tadi keadaan terkawal dan orang ramai datang secara berperingkat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Mengulas lanjut, Raja Norazli berkata, pihaknya turut mengingatkan orang ramai supaya mematuhi penjarakan sosial.

"Selain itu, pengunjung mesti mengambil langkah-langkah penjagaan kebersihan selain mewajibkan pemakaian topeng muka," katanya.

Raja Norazli berkata, pihaknya turut dimaklumkan bahawa pengurusan pasar borong berkenaan tidak lagi berurusan dengan Pasar Borong Kuala Lumpur sebaliknya mendapatkan barang keperluan dari Pasar Borong Melaka.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Raja Norazli berkata, susulan kelonggaran kebenaran keluar berdua dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa empat diumumkan kerajaan, pihaknya masih mengguna pakai SOP sedia ada iaitu hanya seorang dibenarkan masuk ke premis seperti pasar raya atau pasar borong.

"Setakat ini belum ada arahan berkaitan SOP baharu dikeluarkan bagi peraturan itu, maka kita kekalkan SOP sedia ada," katanya.




View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved