Jerebu: Enam penerbangan di LTAS dibatalkan

22 Sep 2019 • 9:56 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

IPOH - Sebanyak enam penerbangan di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini terpaksa dibatalkan pagi ini akibat jerebu.

Pengurus LTSAS, Mohd Ali Osman berkata, jumlah itu merupakan sebahagian daripada 14 penerbangan yang dijadualkan di LTSAS pagi ini.

Menurutnya, enam penerbangan yang dibatalkan itu membabitkan 315 penumpang dari dua syarikat penerbangan iaitu Air Asia dan Flyscoot yang merupakan syarikat penerbangan tambang rendah dari Singapura.

"Penerbangan yang dibatalkan adalah Air Asia melibatkan laluan Johor Bahru-Ipoh-Singapura dan Singapura-Ipoh-Johor Bahru.

"Manakala bagi penerbangan Flyscoot pula melibatkan laluan Singapura-Ipoh-Singapura," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Ali berkata, sehingga kini tiada penerbangan yang ditangguh mahupun dilencongkan akibat jerebu.

Menurutnya, jarak penglihatan sehingga jam 8 pagi tadi adalah 2,000 meter.

Beliau berkata, pihak lapangan terbang akan terus memantau keadaan semasa dengan mendapatkan maklum balas daripada Jabatan Meteorologi dan kawalan trafik udara Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia.

Semalam, dua daripada enam penerbangan yang dijadualkan di LTSAS di sini terpaksa dibatalkan pada sebelah petang disebabkan jerebu.