
SHAH ALAM, 24 NOV: Sejumlah 30,927 tangkapan direkodkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) membabitkan penagih dan penyalah guna dadah menerusi 4,456 operasi di seluruh negara sehingga 31 Oktober lalu.
Jumlah itu bersamaan 108.59 peratus daripada sasaran tahunan 28,481 Orang Yang Disyaki Terlibat (OYDS), mengatasi sasaran yang ditetapkan bagi tahun ini.
Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, Kedah merekodkan jumlah tangkapan tertinggi iaitu 4,009 orang diikuti Selangor (3,618), Johor (3,561), Perak (3,558) dan Pahang (2,660).
"Ini sebenarnya sudah melepasi sasaran kita untuk tahun ini, yang mana kita mensasarkan hanya 28,000 sahaja," katanya ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Ketua Pengarah AADK Bersama Media di sini malam tadi, lapor Harian Metro.
Ruslin berkata, AADK menyasarkan peningkatan jumlah tangkapan antara 10 hingga 20 peratus lagi tahun depan bagi membolehkan lebih ramai individu terlibat dengan masalah penagihan menerima rawatan dan pemulihan.
"Bagi tahun depan, kita akan meningkatkan lagi jumlah tangkapan dengan anggaran dalam 10 ke 20 peratus dengan harapan mereka yang terbabit dengan masalah penagihan dadah ini, kita dapat beri rawatan dan pemulihan sama ada di dalam fasiliti kita, di PUSPEN mahupun dalam komuniti," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan jumlah klien yang mendapatkan rawatan secara sukarela di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) menunjukkan peningkatan ketara sejak 2025.
Katanya, seramai 176 klien mendapatkan rawatan secara sukarela pada suku terakhir 2025, manakala bagi 2026, 133 klien direkodkan antara Januari hingga Mac, diikuti 199 klien bagi April hingga Jun.
Jumlah itu diteruskan dengan 129 klien bagi Julai hingga September dan 60 klien sepanjang Oktober hingga November, meskipun tempoh berkenaan belum genap dua bulan.
"Trend ini menunjukkan peningkatan ketara klien yang tampil mendapatkan rawatan secara sukarela di PUSPEN, khususnya selepas penguatkuasaan pindaan Akta Penagih Dadah baru-baru ini yang memberi penekanan kepada pendekatan rawatan dan pemulihan secara sukarela.
"Kita mendapati proses pemulihan lebih mudah dilaksanakan apabila klien sendiri mempunyai kesedaran dan kesediaan untuk mendapatkan bantuan," katanya.






