Aaron Aziz, Produksi Banduan Gerakkan Misi Bantuan Banjir Ke Pantai Timur

LocalEntertainment
29 Nov 2025 • 5:06 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Pelakon popular, Datuk Aaron Aziz, mengumumkan bahawa beliau bersama pasukan produksi filem Banduan akan melaksanakan misi bantuan banjir ke Pantai Timur berikutan beberapa negeri yang terjejas teruk akibat hujan lebat dan cuaca tidak menentu.

Aaron, 49, berkata langkah itu diambil bagi memastikan kunjungan mereka ke kawasan berkenaan bukan sekadar untuk mempromosikan filem, sebaliknya turut memberi nilai tambah kepada komuniti yang sedang berhadapan bencana.

“Kami sepakat untuk menjalankan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) ke Pantai Timur kerana keadaan banjir semakin membimbangkan. 

“Tidak manis jika kami hadir hanya untuk tujuan promosi sedangkan penduduk di sana sedang berhadapan dengan musibah. Jadi kami laksanakan kedua-duanya sekali,” ujarnya ketika ditemui media pada Jumaat.

Menurut aktor kelahiran Singapura itu, misi berkenaan akan digerakkan segera memandangkan situasi banjir di Pantai Timur semakin memburuk.

“Kami akan bertolak pada Ahad ini ke beberapa loaksi di Pantai Timur. Selepas Pahang, kami terus bergerak ke Kelantan dan Terengganu, dengan Kuala Terengganu menjadi antara lokasi tumpuan.

“Turut serta dalam misi ini ialah Datuk Rosyam, Datuk Afdlin serta beberapa pelakon Banduan lain. Kami akan menyerahkan sumbangan dan meninjau sendiri kawasan yang terjejas,” ujarnya.

image is not available

Beliau turut memaklumkan bahawa barangan bantuan ditaja sepenuhnya oleh pasar raya Rosyam Mart.

“Sumbangan kali ini ditaja oleh Rosyam Mart. Semua barangan telah siap disediakan dan lokasi pertama penghantaran ialah Pusat Bantuan Marang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, filem Banduan yang diadaptasi daripada filem Tamil terkenal Kaithi (2019), telah mencapai kejayaan besar selepas beberapa minggu ditayangkan di pawagam seluruh negara.

Filem yang diarahkan oleh Kroll Azry ini, selain telah meraih kutipan jualan tiket melebihi RM7,000,000, ia juga  turut menerima pengiktirafan antarabangsa apabila meraih tiga pencalonan utama di International Film Festival of Australia (IFFA). 

Pencalonan tersebut ialah Filem Antarabangsa Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik (Datuk Aaron Aziz), dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Datuk Rosyam Nor). 

Mengulas mengenai pencalonannya itu, Aaron menjelaskan dia berasa cukup berbangga kerana filem dari Malaysia turut mendapat perhatian masyarakat antarabangsa.

“Apabila diberitahu tentang pencalonan ini, saya berasa cukup gembira dan bangga. Namun, saya tidak terlalu memikirkan tentang kemenangan. Dicalonkan sebagai pelakon terbaik pun adalah satu kejayaan untuk saya,” ujar beliau. - Getaran, 29 November 2025