
DRAMATIS Ainina Ahmad B menzahirkan rasa rindu terhadap bapanya, pelakon terkenal seniman Ahmad B, yang telah meninggal dunia 22 tahun lalu.
Menerusi satu perkongsian di media sosial, Ainina mengimbau detik kehilangan insan tersayang itu pada 1 Jun 2004, sambil menyifatkan bapanya bukan sekadar tempat bergantung harap, malah individu yang banyak membentuk dirinya sebagai anak seni.
Menurut Ainina, Allahyarham merupakan tempat dia bermanja, berkongsi cerita dan guru lakonan yang sentiasa memberi tunjuk ajar sepanjang hayatnya.
"Abah saya...Al-Fatihah.
"1 Jun 2004, jam 8 malam, saya kehilangan seorang abah. Tempat saya bermanja, kawan untuk bercerita dan cikgu lakonan saya.

"Hari ini sudah 22 tahun berlalu. Semoga tenang di sana, abah. Insya-ALLAH doa sentiasa ada untuk abah yang kami sayang," tulisnya.
Menjawab pertanyaan pengguna Threads tentang didikan dan keperibadian Allahyarham, Ainina menjelaskan bapanya seorang yang penyayang biarpun sering membawa watak antagonis.
"Sedikit sahaja saya kongsikan ya. Abah terlalu baik. Cakap lembut dengan anak-anak .
"Saya tidak pernah dipukul jika buat salah. Kalau ada buat salah abah panggil dan cakap baik-baik.
"Cuma satu abah pesan, kalau nak jadi pelakon jangan diva hihi. Jangan sombong. Adalah lagi nantilah saya cerita.

"Dia tak benarkan anak lelaki jadi pelakon. Kata abah, anak lelaki mesti ada kerja tetap, sebab itulah saya seorang sahaja yang jadi pelakon," kongsinya.
Perkongsian itu mengundang rasa sebak dalam kalangan pengikutnya yang turut menzahirkan ucapan takziah dan mendoakan agar Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Ramai juga yang mengenang lakonan versatil Allahyarham dalam pelbagai filem, telefilem dan drama sepanjang penglibatannya dalam bidang lakonan.
Allahyarham merupakan pelakon lagak ngeri dan pemuzik era 1940-an. Ahmad B pernah diberi gelaran King of Stuntman oleh pelakon Kaber Bedi selepas melakukan adegan stunt bagi filem antarabangsa bertajuk Sandokan-Pirate of Malaysia pada tahun 1976.
