Abai & Aniaya Bella: Siti Bainun Dipenjara Berjumlah 22 Tahun

3 May 2023 • 1:23 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Abai & Aniaya Bella: Siti Bainun Dipenjara Berjumlah 22 Tahun

KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) — Mahkamah Sesyen di sini, menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 22 tahun terhadap Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down, dikenali sebagai Bella.

Hakim Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi kesalahan mengabai dan 12 tahun penjara untuk pertuduhan menganiaya, namun Siti Bainun hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun, selepas hukuman itu diperintah berjalan secara serentak, bermula hari ini.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh menandatangani bon berkelakuan baik dalam tempoh lima tahun dengan seorang penjamin warganegara tempatan, berserta cagaran RM5,000.

Siti Bainun, yang hadir ke kompleks mahkamah pada kira-kira 8.27 pagi dengan ditemani seorang wanita juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

Mengikut pertuduhan, Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sumber: Bernama