
KUALA LUMPUR – “Abaikan saja pembenci. Lumrah kita sebagai artis, orang akan bercakap fasal kita sama ada baik atau jahat.”
Demikian pesanan pelakon Sophia Albarakbah buat rakannya, Siti Khadijah Halim yang sering menerima kecaman selepas dikaitkan dengan beberapa isu panas termasuk membabitkan keakraban dengan Amir Ahnaf.
Sophia, 33, menasihatkan Siti agar tidak membaca sebarang komen negatif dalam media sosial dan menumpukan perhatian kepada kerjayanya.
“Dia ada juga mesej saya, sekarang dia di Jepun. Saya ada titip pesanan agar jangan baca komen.
“Sekarang ini, dia cuma perlu fokus pada kerja dia saja. Saya faham sebab saya pun pernah berada di situasi dikecam, malah selalu dikecam.
“Tapi kecaman itu yang buat saya lebih kuat. Jadi, saya percaya perkara ini juga akan buat Siti lebih kuat untuk masa depan dia,” katanya pada majlis pelancaran drama Viu Original, Dendam Bayangan, hari ini.
Selain itu, pelakon drama From Saga With Love itu menyifatkan Siti sebagai seorang yang baik dan sering mendampinginya ketika berdepan kesusahan.
“Saya harap dia kuat, saya kenal Siti secara peribadi, dia seorang yang baik dan sangat ceria.
“Waktu saya dalam kesusahan dan ‘down’, dia sentiasa ada untuk saya. Dia selalu bagi kata-kata semangat.
“Orang yang kenal dia akan tahu dia macam mana, fokuslah pada orang yang sayangkan kita,” jelasnya.
Sebelum ini, Siti Khadijah Halim mencuri tumpuan apabila dikaitkan dengan beberapa spekulasi membabitkan keakrabannya dengan rakan pelakon, Amir Ahnaf selain pernah didakwa sombong. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Abaikan saja pembenci, orang akan bercakap sebab lumrah artis’ appeared first on Kosmo Online.
