SOALAN: Ayah saya meninggal dunia beberapa bulan lalu. Semasa hidup, ayah telah meletakkan abang saya sebagai penama bagi akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Tabung Haji miliknya. Namun selepas kematian ayah, abang mengatakan semua wang tersebut adalah hak mutlak beliau kerana namanya tercatat sebagai penama.
Kami adik-beradik lain berasa keliru dan bimbang berlaku pergaduhan keluarga. Betulkah penama secara automatik menjadi pemilik kepada semua wang tersebut? Bagaimana sebenarnya kedudukan penama menurut undang-undang dan hukum syarak?
JAWAPAN: Persoalan yang dikemukakan ini sebenarnya sangat dekat dengan realiti masyarakat hari ini. Saya percaya ramai keluarga pernah berhadapan situasi yang hampir sama, khususnya apabila melibatkan simpanan KWSP, Tabung Haji atau wang dalam akaun bank milik ibu bapa yang telah meninggal dunia.
Apa yang lebih membimbangkan, salah faham tentang status penama sering menjadi punca pergaduhan sesama adik-beradik sehingga hubungan kekeluargaan menjadi renggang selepas berlaku kematian.
Ramai menyangka bahawa apabila seseorang dinamakan sebagai penama, maka secara automatik individu tersebut menjadi pemilik mutlak kepada semua wang yang ditinggalkan. Hakikatnya, bagi orang Islam, perkara tersebut tidak semudah itu.
Kita sebenarnya perlu faham bahawa penama bagi KWSP dan Tabung Haji untuk orang Islam bukanlah penerima mutlak kepada harta pusaka si mati. Peranan sebenar penama ini hanyalah sebagai pentadbir atau wasi yang diberikan tanggungjawab untuk membantu menguruskan pengeluaran wang tersebut selepas berlaku kematian.
Hal ini juga selaras dengan kedudukan yang dijelaskan oleh pihak KWSP sendiri bahawa peranan penama bagi ahli yang beragama Islam adalah sebagai pentadbir atau wasi yang bertanggungjawab untuk menerima simpanan tersebut untuk diuruskan dan diagihkan kepada waris-waris yang berhak mengikut hukum faraid.
Begitu juga dalam urusan Tabung Haji. Penama bagi pendeposit Muslim bukanlah pemilik mutlak wang simpanan tersebut, sebaliknya bertindak sebagai pemegang amanah bagi membantu proses pentadbiran harta pusaka si mati.
Maksudnya di sini sangat jelas. Apabila abang mereka membuat pengeluaran dan menerima wang simpanan KWSP dan Tabung Haji arwah ayahnya, wang simpanan tersebut bukanlah secara automatik menjadi milik peribadi beliau hanya kerana namanya tercatat sebagai penama. Sebaliknya, wang itu masih kekal sebagai harta pusaka arwah ayah yang perlu diuruskan mengikut hukum syarak dan diagihkan kepada waris-waris yang berhak.
Ada penama yang menyangka mereka bebas menggunakan keseluruhan wang tersebut untuk kepentingan sendiri. Ada juga yang terus memindahkan wang pusaka tersebut ke akaun peribadi, membeli rumah, membeli kenderaan atau menggunakan wang pusaka tanpa berbincang dengan waris lain.
Akhirnya timbul konflik keluarga dalam kalangan waris yang tidak berpuas hati terhadap tindakan abang mereka, sehingga hubungan menjadi renggang dan ada yang saling menyalahkan. Malah, sebahagian membawa pertikaian ini ke mahkamah akibat kekeliruan mengenai konsep penama.
Dalam isu ini, kekeliruan adik-beradik tersebut berasas kerana tuntutan si abang tidak tepat dari sudut hukum syarak dan prinsip pentadbiran pusaka Islam di Malaysia.
Bukan pemilik mutlak
Penama bukan pemilik mutlak harta pusaka. Penama hanyalah individu yang diberikan amanah untuk membantu menguruskan harta tersebut selepas berlaku kematian. Selepas wang dikeluarkan, tugas penama bukanlah mengambil keseluruhan wang itu untuk diri sendiri, tetapi menyerahkan harta tersebut kepada pentadbir harta yang dilantik oleh semua waris-waris untuk diuruskan secara sah bagi tujuan pembahagian pusaka secara faraid atau muafakat.
Kebiasaannya, waris akan melantik pentadbir atau wasi bagi menguruskan pusaka termasuk mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir, menyelesaikan hutang arwah dan mengagihkan harta mengikut faraid. Dalam situasi tertentu, penama boleh dilantik sebagai pentadbir jika dipersetujui waris lain, namun beliau kekal sebagai pemegang amanah, bukan pemilik mutlak harta itu.
Ramai masyarakat tidak sedar bahawa harta pusaka tidak boleh terus dibahagikan sebaik sahaja seseorang meninggal dunia. Antara perkara wajib dan yang perlu diselesaikan terlebih dahulu adalah kos pengurusan jenazah dan hutang-hutang arwah dengan ALLAH seperti fidyah puasa, nazar serta badal haji sekiranya arwah berkemampuan semasa hidup tetapi belum sempat menunaikan fardu haji.
Selain itu, semua hutang si mati termasuk kepada kerajaan seperti LHDN, zakat atau pinjaman tertentu perlu diselesaikan terlebih dahulu. Ini termasuk hutang dengan manusia seperti pinjaman bank, kad kredit, hutang peribadi serta pinjaman daripada keluarga atau rakan. Selepas semua tanggungan dijelaskan, barulah baki harta diagihkan kepada waris mengikut faraid atau persetujuan bersama.
Amanah dan adil
Dalam Islam, wasi atau pentadbir perlu amanah dan berlaku adil ketika menguruskan harta pusaka. Mereka tidak boleh mengambil atau menafikan hak waris lain kerana ALLAH melarang perbuatan mengambil harta orang lain secara tidak benar seperti dinyatakan dalam Surah al-Nisa’ ayat 29. Amanah sebagai penama bukan sekadar urusan mengeluarkan wang, tetapi satu tanggungjawab besar yang perlu dipertanggungjawabkan di sisi syarak.
Saya sering menasihatkan masyarakat supaya tidak terlalu bergantung kepada penama atau beneficiary semata-mata tanpa memahami implikasi sebenar pelantikan tersebut. Ramai menyangka individu yang dilantik akan terus menjadi pemilik mutlak harta selepas berlaku kematian, sedangkan bagi orang Islam, penamaan dalam KWSP dan Tabung Haji lebih kepada urusan pentadbiran bagi membantu pengurusan dan pembahagian harta pusaka mengikut hukum syarak.
Dalam persoalan yang dikemukakan ini, saya berpandangan bahawa tindakan abang mereka yang menganggap keseluruhan wang KWSP dan Tabung Haji arwah ayah sebagai milik peribadi beliau adalah tidak betul dan tidak selari dengan konsep penamaan bagi orang Islam serta bercanggah dengan prinsip pembahagian harta pusaka menurut hukum syarak. Hak waris-waris lain tidak boleh dinafikan hanya kerana nama seorang anak tercatat sebagai penama.
Sebagai pentadbir harta, si abang sepatutnya melaksanakan amanah yang diberikan dengan penuh tanggungjawab, menguruskan wang pusaka secara sah serta memastikan pembahagian dibuat secara adil mengikut hukum faraid selepas semua hutang dan tanggungan arwah diselesaikan terlebih dahulu.
Kesimpulannya, masyarakat perlu memahami bahawa penama dilantik tidak semestinya pemilik mutlak harta pusaka. Kefahaman yang betul tentang peranan penama sangat penting bagi mengelakkan salah faham, perebutan harta dan pertelingkahan sesama waris selepas berlaku kematian.
Penama hanyalah pentadbir dan pemegang amanah sementara bagi memastikan urusan pusaka si mati dapat dilaksanakan dengan teratur, adil dan mematuhi hukum syarak.
*Dr Anne Ismail ialah Pengasas Pennawaris Sdn Bhd dan Ikon Perancangan Harta & Pengurusan Pusaka Malaysia
