Abang Jo Beri Peruntukan RM 50 Juta, Bangunkan Kompleks Pelbagai Guna Di Hutan Simpan Sabal

9 Jun 2024 • 11:13 AM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Kompleks ini bertujuan sebagai pusat penyelidikan dan kajian spesies pokok di kawasan berkenaan

Abang Jo Beri Peruntukan RM 50 Juta, Bangunkan Kompleks Pelbagai Guna Di Hutan Simpan Sabal. Dilaporkan, Hutan Simpan Sabal di Simunjan akan memiliki sebuah kompleks yang berfungsi sebagai pusat pelbagai guna untuk tujuan penyelidikan dan kajian spesies pokok di kawasan berkenaan.

Menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, beliau setuju memberikan peruntukan sebanyak RM 50 juta untuk Jabatan Hutan Sarawak (JHS) melaksanakan rancangan itu.

image is not available
Abang Jo Beri Peruntukan RM 50 Juta, Bangunkan Kompleks Pelbagai Guna Di Hutan Simpan Sabal. Sumber gambar: Focus Malaysia

Hutan Simpan Sabal antara destinasi penting

Beliau berkata, Hutan Simpan Sabal yang mempunyai keluasan 2,613 hektar sememangnya merupakan antara destinasi penting terutama dari sudut penyelidikan dan juga kajian pelbagai spesies flora dan fauna di Sarawak.

Oleh itu, Abang Jo bersetuju untuk JHS menubuhkan Kompleks Sabal yang akan digunakan untuk pelbagai tujuan. Pertamanya, ia akan menjadi tempat bagi penyelidik untuk melihat amalan pengurusan hutan kita.

Kemudian, kompleks ini boleh juga dijadikan tempat untuk aktiviti fizikal seperti mendaki (hiking) dan sebagainya, katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Sarawak 2024 di Hutan Simpan Sabal, Simunjan semalam.

Turut dicadangkan adalah agar kompleks berkenaan boleh dilengkapi dengan kemudahan penginapan untuk para pelancong.

Saya cadangkan kepada Datuk Hamden Mohammad (Pengarah JHS) supaya menyediakan tempat penginapan seperti apartmen untuk kemudahan pelancong bermalam di sini.

“Selain dapat menghirup udara segar, pelancong boleh juga menikmati suasana yang tenang dan baik untuk kesihatan mereka, apatah lagi kawasan ini mempunyai potensi besar dalam pelancongan perubatan,” ujarnya.

Sebagai contoh yang diberikan Premier Sarawak, hospital swasta seperti Pusat Perubatan Borneo (BMC) dan Hospital Pakar Kuching (KPJ) boleh membawa pesakit mereka ke sini bagi mendapatkan rawatan susulan dalam suasana yang segar sambil melihat keindahan hutan semula jadi.

image is not available
Gambar sekadar hiasan

JHS bercadang untuk membangunkan Kompleks Sabal

Sebelum ini, Hamden dalam ucapannya berkata, JHS bercadang untuk membangunkan Kompleks Sabal sebagai sebuah pusat pelbagai guna di Hutan Simpan Sabal, Simunjan.

Tambahnya lagi, ia merupakan salah satu usaha JHS untuk bergerak ke hadapan dan akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) kelak.

Pembangunan itu katanya, akan merangkumi kawasan model ladang hutan yang fokus kepada amalan terbaik pengurusan hutan, rekreasi hutan, pusat latihan, pembelajaran dan penyelidikan berkaitan ladang hutan serta restorasi hutan landskap hutan. 

Kompleks Sabal akan dibangunkan sebagai pusat pelbagai guna untuk menempatkan bangunan pejabat, kuarters kakitangan, fasiliti penyelidikan dan juga fasiliti untuk tujuan rekreasi seperti trek berbasikal, tempat perkhemahan, ‘orienteering,’ penggambaran dan sebagainya.

“Apabila siap nanti kompleks ini boleh digunakan oleh pakar, penyelidik, pelajar dan orang awam terutama peminat alam semula jadi untuk meneroka serta menghayati keindahan hutan hujan tropika di Hutan Simpan Sabal,” ujarnya.

Baca lagi berita terkini di sini:

View Original Article