
Gunakan manfaat Kenyalang Gold Card kerana negeri mampu
Abang Johari: Kenyalang Gold Card Tanggung Kos Pemeriksaan Kesihatan Rakyat. Kerajaan Sarawak menanggung kos pemeriksaan kesihatan bagi rakyat Negeri Sarawak yang berumur 60 tahun ke atas, memetik laporan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyatakan bahawa individu yang sudah memiliki Kenyalang Gold Card boleh memanfaatkan kad tersebut.

“Baru-baru ini saya telah arahkan agar mereka berumur lebih 60 tahun, pemeriksaan kesihatan mereka di masuk di dalam Kenyalang Gold Card.
“Bukan sahaja dari sudut diskaun membeli barang, tetapi kos pemeriksaan kesihatan kerajaan tanggung dibawah Kenyalang Gold Card,” katanya.
Difahamkan Abang Johari berkata demikian dalam ucapan semasa Perhimpunan Maal Hijrah 2023 di Kompleks Islam Sarawak, hari ini.
Mampu membiayai kos tersebut kerana pendapatan negeri meningkat
Dalam pada itu, beliau turut berkata kerajaan mampu menanggung perbelanjaan kos tersebut kerana hasil atau pendapatan negeri telah meningkat. Tambah beliau, pendapatan tersebut diberi balik kepada rakyat.

“Pada tahun 2022 pendapatan kita ialah RM12 bilion, meningkat dua kali ganda daripada tahun sebelumnya. Maka dengan cara ini, kita beri balik kepada rakyat,” ujar Abang Johari menerusi sumber.

