
CHUKAI: Hampir seminggu tragedi kepala air di Jeram Air Putih melanda, harapan Shahrizal Saliman, 40, agar adiknya Muhammad Fikri, 24, dan seorang lagi mangsa, Putri Nur Fatin Karim, 14, yang masih hilang, ditemukan tetap menggunung tinggi.
Shahrizal, yakin adik kesayangannya itu akan dijumpai oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) walau dalam apa juga keadaan dan beliau tidak akan putus berdoa.
Beliau berkata pihak polis juga telah memberikan kebenaran untuknya masuk ke lokasi kejadian bersama anggota bomba sebagai ikhtiar mencari mangsa.
“Alhamdulillah hari ini saya dapat kebenaran polis untuk masuk ke lokasi pencarian bersama anggota bomba...saya mahu laungkan azan dan dengan izin Allah ia mungkin menjadi asbab untuk adik saya ditemukan,“ katanya ketika ditemui di Balai Polis Air Putih di sini hari ini.
Menurutnya keadaan di balai polis itu yang menjadi pusat operasi SAR, semakin suram kerana semua ahli keluarga tunang adiknya, Allahyarham Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, telah pulang ke kampung mereka di Felda Lepar Hilir 3, Kuantan, Pahang.
Shahrizal berkata sejak tiba di Kemaman dari Batu Pahat, Johor, pada Isnin lepas, beliau serta keluarga arwah tunang adiknya saling memberi sokongan dan berkongsi kesedihan.
“Masih ada seorang lagi anggota keluarga arwah tunang adik saya yang belum ditemukan, tetapi masing-masing sudah penat dan perlu pulang untuk menguruskan hal-hal lain,“ katanya.
Katanya beliau juga akan memohon kepada polis untuk melanjutkan operasi SAR sekiranya Muhammad Fikri masih belum dijumpai dalam tempoh yang ditetapkan.
Sabtu lepas, 10 orang termasuk sembilan sekeluarga hilang selepas dihanyutkan kepala air ketika berkelah di Jeram Air Putih dan setakat ini lapan mangsa telah ditemukan dan selamat dikebumikan, manakala dua masih hilang. -Bernama

