Abang mengaku tumbuk muka, lengan adik

17 Oct 2022 • 2:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

KAJANG - Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas satu pertuduhan menumbuk muka dan lengan adik perempuannya yang berusia 24 tahun, Khamis lalu.

Juruteknik, Muhamad Farhan Mat Sahid, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Syahrul Sazly Md Sain.

Bagaimanapun hukuman terhadap tertuduh ditangguhkan sementara menunggu laporan penuh perubatan mangsa.

Mahkamah menetapkan 16 November depan untuk fakta kes dan jatuh hukum serta membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,500 dengan seorang penjamin.

Mengikut pertuduhan, Muhamad Farhan didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap adik perempuannya, Nadiah Husna dengan menumbuk di muka dan kedua-dua lengannya.

Kesalahan dilakukan di sebuah rumah di sini pada jam 11 malam 13 Oktober lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding pada Isnin, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Husna Amran manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Jumaat lalu, Sinar Harian melaporkan, hanya kerana bau masakan masuk ke bilik, seorang adik cedera dipukul abang kandungnya dalam kejadian di sebuah rumah di sini.

Bagaimanapun tindakan suspek yang merupakan lelaki warga tempatan itu membawa padah apabila diberkas tidak sampai beberapa jam selepas kejadian.