ABBA bagai ‘hidup’ semula di Zepp KL

EntertainmentMusic
14 Aug 2026 • 6:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: ABBA bagai ‘hidup’ semula di Zepp KL

KUALA LUMPUR : Bagaikan dibawa kembali ke era kegemilangan muzik disko, Zepp Kuala Lumpur bertukar menjadi medan nostalgia apabila The ABBA Forever Tour menggegarkan pentas, Rabu lalu.

Lebih dua jam, penonton disajikan persembahan penuh bertenaga yang menghidupkan semula deretan lagu popular kumpulan legenda Sweden, ABBA, menerusi kumpulan penghormatan, Björn Again.

Walaupun bukan anggota asal ABBA yang berada di pentas, persembahan Björn Again berjaya mencetuskan suasana seolah-olah penonton sedang menyaksikan kumpulan berkenaan beraksi secara langsung.

Lengkap dengan kostum berkilauan, gaya retro, koreografi bersahaja dan elemen komedi, persembahan itu bukan sekadar menghidangkan lagu-lagu popular, malah membawa penonton menyelami semula budaya pop era 1970-an dan 1980-an.

Sebaik muzik dimainkan, penonton mula menyanyi bersama, malah sebahagian mereka tidak melepaskan peluang untuk turut menari mengikut rentak.

Image from: ABBA bagai ‘hidup’ semula di Zepp KL

Antara lagu yang menjadi tumpuan termasuk Dancing Queen, Mamma Mia, Waterloo, SOS, Gimme! Gimme! Gimme! dan beberapa lagi karya popular yang terus mendapat tempat dalam kalangan peminat muzik hingga hari ini.

Tidak kurang mencuri perhatian ialah segmen yang mengetengahkan lagu lebih mendayu seperti The Winner Takes It All, Chiquitita, Fernando dan I Have a Dream.

Biarpun sudah puluhan tahun berlalu sejak lagu-lagu berkenaan menghiasi carta muzik dunia, sambutan penonton membuktikan karya ABBA masih mempunyai daya tarikan tersendiri.

Malah, persembahan berkenaan berjaya menghimpunkan penonton daripada pelbagai peringkat usia.

Image from: ABBA bagai ‘hidup’ semula di Zepp KL

Ada yang membesar dengan muzik ABBA, manakala generasi lebih muda pula mengenali karya kumpulan berkenaan menerusi filem dan muzikal Mamma Mia!.

Itulah keistimewaan muzik ABBA, mereka mampu merentas generasi tanpa kehilangan identiti dan kekuatannya.

Salah satu kekuatan Björn Again ialah mereka tidak sekadar meniru persembahan ABBA. Sebaliknya, kumpulan berkenaan membentuk identiti tersendiri dengan menggabungkan elemen muzik, teater, komedi dan interaksi bersama penonton.

Image from: ABBA bagai ‘hidup’ semula di Zepp KL

Pendekatan itu menjadikan persembahan lebih santai dan menghiburkan, sekali gus mengelakkan konsert daripada terasa seperti sekadar persembahan semula lagu-lagu lama.

Björn Again yang ditubuhkan di Melbourne, Australia, pada 1988 juga bukan nama baharu dalam dunia persembahan penghormatan ABBA. Kumpulan itu sudah menjelajah lebih 120 negara dan beraksi di pelbagai pentas berprestij di seluruh dunia.

Lebih menarik, persembahan mereka turut mendapat pengiktirafan daripada anggota ABBA sendiri, sekali gus mengukuhkan kedudukan Björn Again sebagai antara kumpulan penghormatan ABBA paling dikenali di dunia.

Image from: ABBA bagai ‘hidup’ semula di Zepp KL

Kemuncak persembahan jelas memperlihatkan bagaimana lagu-lagu ABBA masih mempunyai kuasa untuk menghidupkan suasana. Daripada sekadar duduk menikmati persembahan, penonton akhirnya bangun, menyanyi dan menari bersama.

Suasana di Zepp KL menjadi semakin meriah apabila lagu-lagu popular ABBA dimainkan berturut-turut, dengan penonton memberikan respons yang cukup positif.

Tidak kira usia, semuanya seolah-olah berkongsi pengalaman sama, menikmati muzik yang sudah menjadi sebahagian daripada sejarah muzik popular dunia.

Lebih daripada sekadar sebuah konsert penghormatan, The ABBA Forever Tour membuktikan muzik yang baik tidak mengenal zaman.

ABBA mungkin sudah lama meninggalkan era kegemilangan mereka, namun lagu-lagu yang dihasilkan masih mampu membuatkan penonton hari ini menyanyi dan menari dengan penuh semangat.

Dan untuk beberapa jam di Zepp KL, ABBA bukan sekadar kenangan. Mereka ‘hidup’ semula di hadapan peminat.

The post ABBA bagai ‘hidup’ semula di Zepp KL appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved