
KAJANG – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) telah menyerahkan notis kepada bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan ahli keluarganya termasuk anak-anak untuk mengisytiharkan harta.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman berkata, notis berkenaan telah disampaikan kepada Abdul Azeez dan ahli keluarga terdekatnya mengikut peruntukan undang-undang.
“Pihak kami telah menyerahkan notis kepada Datuk Seri Abdul Azeez dan ahli keluarganya untuk beliau mengisytiharkan hartanya seperti yang termaktub di bawah undang-undang.
“Di bawah akta itu tempohnya sebulan. Kalau contohnya masa dan tempoh sebulan itu tidak mencukupi, pihak kami akan memberikan lanjutan tertakluk kepada keadaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Program Menembak bersama Media 2026, di Lapang Sasar Maktab Penjara Kajang, hari ini.
Ditanya sama ada notis berkenaan turut melibatkan anak-anak Abdul Azeez, Abdul Halim mengesahkan perkara tersebut.
“Keluarga terdekat, saya tidak boleh nyatakan berapa (jumlahnya), tetapi keluarga terdekat itu termasuk anak-anaknya juga,” katanya.
Dalam pada itu, Abd Halim berkata, setakat 18 September, seramai enam individu telah didakwa berhubung lapan isu atau kes yang disiasat susulan laporan RCI TH.
Bagaimanapun, katanya, siasatan SPRM belum berakhir apabila terdapat lima lagi siasatan yang masih berlangsung dan belum dimuktamadkan.
“Pihak penyiasatan masih lagi menjalankan siasatan terhadap kes-kes selebihnya yang masih belum dimuktamadkan. Dalam kerangka penyiasatan kami, terdapat lima lagi penyiasatan yang sedang berlangsung.
“Kami sedang mengumpulkan maklumat terperinci dan juga maklumat terkini daripada pihak-pihak yang berkaitan bagi penyiasatan yang masih berjalan sekarang ini,” katanya.
Abdul Azeez sebelum ini didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 9 September lalu atas satu pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan jawatan Pengerusi Putrajaya Perdana Berhad serta meyakinkan Ahli Lembaga TH meluluskan cadangan pelaburan RM193.5 juta dalam syarikat berkenaan.
Beliau mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut.
Sebelum itu, Abdul Azeez turut ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes berkaitan pemberian hibah TH mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan sebelum dibebaskan selepas permohonan polis untuk melanjutkan remannya ditolak mahkamah.
Siasatan dan tindakan pendakwaan itu adalah sebahagian daripada tindakan susulan pihak berkuasa terhadap penemuan Laporan RCI berhubung pengurusan serta operasi TH. – KOSMO! ONLINE
The post Abdul Azeez, anak-anak diarah isytihar harta appeared first on Kosmo Online.






