Abdul Hadi 'lupa sejarah', penyatuan ummah hanya helah politik - Amirudin

LocalPolitics
24 Jul 2026 • 4:52 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Abdul Hadi 'lupa sejarah', penyatuan ummah hanya helah politik - Amirudin
Amirudin berkata, Tan Sri Abdul Hadi Awang sejak 1981 dituduh sebagai pemecah-belah umat Islam, kaum Melayu dan rakyat Malaysia.

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) mendakwa naratif penyatuan ummah dibawa oleh Pas menerusi hasrat bergabung dengan UMNO merupakan helah politik lama yang pernah dicuba beberapa kali, namun gagal.

Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sejak 1981 dituduh sebagai pemecah-belah umat Islam, kaum Melayu dan rakyat Malaysia.

Menurut beliau, pada tahun sama juga Abdul Hadi pernah menuduh UMNO sebagai 'parti jahiliah', namun kini Ahli Parlimen Marang itu dilihat seolah-olah melupakan sejarah dengan berhasrat menjalinkan kerjasama bersama parti tersebut kononnya atas nama perpaduan ummah.

“Ini bukan kali pertama usaha sedemikian dibuat untuk menghantui rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor memaklumkan, sekurang-kurangnya tiga episod pernah berlaku sebelum ini iaitu pada 1972 apabila Pas menyertai Barisan Nasional (BN).

Tambahnya, 2008 pula menyaksikan episod BN kehilangan majoriti dua pertiga dan pada 2018, BN kalah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) buat kali pertama dalam sejarah politik negara.

"Ketiga-tiga detik percubaan ini gagal dengan begitu dahsyat.

"Ia akan gagal sekali lagi kerana tabiat beberapa pihak 'parasit politik' ini yang tiada prinsip, miskin maruah, tamak kuasa dan bakal menghadapi gelagat pengkhianatan apabila nafsu politik tidak tercapai," ujarnya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, PN dan BN menjalinkan kerjasama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

PN melengkapkan kerjasama dengan BN apabila mengumumkan 11 calon gabungan itu yang akan bertanding dalam pilihan raya dijadualkan berlangsung 1 Ogos depan.

Pengumuman berkenaan melengkapkan keseluruhan 36 kerusi DUN apabila BN terlebih dahulu mengumumkan 25 calon.

Abdul Hadi sebelum ini menjelaskan, kerjasama dan persefahaman yang terjalin antara PN dan BN pada PRN Negeri Sembilan bukan wayang politik atau rekaan semata-mata.

Tegas beliau, dakwaan atau persepsi dilemparkan sesetengah pihak terhadap hubungan itu adalah tidak berasas memandangkan kedua-dua parti memberikan komitmen penuh dari segi tenaga dan kewangan sepanjang tempoh berkempen.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved