
KUALA LUMPUR - Siasatan terhadap kes rasuah berskala besar dan berprofil tinggi kekal menjadi keutamaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meskipun teraju utama agensi tersebut sudah beralih tangan.
Memberikan jaminan itu, Ketua Pesuruhjaya baharu, Datuk Seri Abdul Halim Aman berkata, SPRM akan terus memberi tumpuan kepada kes-kes melibatkan kepentingan awam yang signifikan, serta memperkukuh kerjasama strategik dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam urusan pendakwaan.
Bercakap pada kunjungan hormat ke atas Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, Abdul Halim berkata, semua siasatan yang melibatkan dakwaan rasuah besar akan terus dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) sebagai pihak berkuasa tunggal yang menentukan tindakan undang-undang.
“SPRM akan terus memperkukuhkan kerjasama strategik yang telah terjalin dengan Jabatan Peguam Negara.
“Kerjasama ini melibatkan kes berskala besar, berprofil tinggi dan berkepentingan awam, yang akan sentiasa dirujuk kepada AGC untuk keputusan tindakan undang-undang,” katanya.
Tegas Abdul Halim, beliau akan memastikan pembaharuan dalaman dilaksanakan dalam SPRM bagi memperkukuh integriti serta keberkesanan agensi tersebut.
“Saya akan berusaha sedaya upaya untuk memimpin, memperbaharui dan memperkukuhkan SPRM,” katanya.
Kunjungan tersebut merupakan pertemuan rasmi pertama beliau dengan AGC sejak memulakan tugas awal minggu ini.
Sementara itu, Peguam Negara menyambut baik lawatan berkenaan dan menegaskan hubungan institusi yang telah lama terjalin antara kedua-dua agensi akan terus diperkukuh.
“Jabatan Peguam Negara dan SPRM adalah rakan strategik yang tidak terpisahkan. Kerjasama yang telah wujud akan diteruskan,” katanya.
Abdul Halim secara rasmi mula menjalankan tugas sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM minggu ini, menggantikan Tan Sri Azam Baki selepas beliau menamatkan kontrak lebih empat dekad bersama agensi tersebut.
Pelantikan bekas Hakim Mahkamah Tinggi itu dibuat ketika perhatian awam terus tertumpu kepada isu rasuah, akauntabiliti institusi dan usaha reformasi tadbir urus sektor awam di Malaysia. - Getaran, 15 Mei 2026


