ABIM cadang mekanisme pemantauan PBB pantau gencatan senjata AS–Iran

WorldPolitics
9 Apr 2026 • 5:28 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
ABIM menyarankan satu mekanisme pemantauan bebas dan telus diwujudkan di bawah PBB bagi memastikan gencatan senjata melibatkan AS dan Iran dipatuhi. Gambar kecil: Ahmad Fahmi

SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyarankan satu mekanisme pemantauan bebas dan telus diwujudkan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi memastikan gencatan senjata melibatkan Amerika Syarikat (AS) dan Iran dipatuhi.

Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin menegaskan bahawa penangguhan serangan ketenteraan itu tidak boleh sekadar menjadi jeda taktikal berikutan sejarah menunjukkan kegagalan komitmen hanya akan mengheret dunia ke dalam kitaran keganasan.

“ABIM menegaskan bahawa sebarang pelanggaran terhadap gencatan senjata ini merupakan pencabulan terhadap prinsip asas Piagam PBB, khususnya larangan penggunaan kekerasan dalam hubungan antarabangsa.

“Kegagalan bertindak secara konsisten dan tidak selektif hanya akan menghakis kepercayaan terhadap sistem tadbir urus global serta memperkukuh persepsi hipokrasi geopolitik,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, beliau berkata usaha diplomatik perlu diperkukuh bagi membina kepercayaan antara kedua-dua negara, sekali gus membuka laluan kepada perjanjian damai yang lebih menyeluruh, adil dan berkekalan.

“Pendekatan ini bukan sahaja penting untuk kestabilan serantau, malah merupakan prasyarat kepada keamanan global yang lestari, termasuk dalam memastikan keselamatan rantaian bekalan tenaga serta kestabilan laluan strategik.

“Sebarang bentuk provokasi, ancaman, percanggahan naratif yang mengelirukan serta tindakan ketenteraan yang berpotensi menggagalkan gencatan senjata ini mesti dihentikan serta-merta.

“Ini termasuk tindakan berterusan oleh rejim Zionis Israel di Palestin dan wilayah sekitarnya,” katanya lagi.

Ahmad Fahmi berkata, usaha perdamaian di Asia Barat tidak akan bermakna tanpa penyelesaian yang adil terhadap isu Palestin, yang kekal sebagai punca utama ketidakstabilan serantau.

Pada masa sama, ABIM menegaskan bahawa konflik melibatkan Iran tidak boleh dilihat secara terpisah daripada realiti di Lubnan, yang kini menjadi medan lanjutan kepada ketegangan serantau.

“Pencabulan kedaulatan dan serangan berterusan oleh rejim Zionis Israel di Lubnan membuktikan bahawa pendekatan yang tidak menyeluruh hanya akan memindahkan dan meluaskan konflik ke wilayah lain.

“Keadaan ini menunjukkan bahawa keamanan yang bersifat selektif bukan sahaja rapuh, malah berisiko mencetuskan eskalasi baharu serta memperdalam krisis kemanusiaan di rantau tersebut.

“Justeru, sebarang kerangka keamanan serantau mesti bersifat menyeluruh,” katanya.

Menurut Ahmad Fahmi, Malaysia digesa untuk terus memainkan peranan aktif melalui diplomasi pelbagai hala termasuk dalam kerangka ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menyokong usaha de-eskalasi yang berprinsip dan berkeadilan.

“Keamanan yang hakiki menuntut keberanian moral untuk menghentikan keganasan secara menyeluruh tanpa pilih kasih dan tanpa hipokrasi geopolitik.

“Dunia pada abad ke-21 tidak boleh terus terperangkap dalam logik konflik yang usang, yang hanya mengorbankan nyawa insan tidak berdosa serta meruntuhkan asas kemanusiaan sejagat,” katanya.

View Original Article