Abrdn muncul sebagai pemegang saham kelima terbesar Farm Fresh selepas kejatuhan harga saham
diyana
16/08/2023 - 11:52
KUALA LUMPUR 16 Ogos - Abrdn plc (dahulunya dikenali sebagai Aberdeen Asset Management plc) telah muncul sebagai pemegang saham besar Farm Fresh Bhd selepas pembelian 93.84 juta saham atau 5.013% kepentingan.
Ini menjadikan Abrdn pemegang saham kelima terbesar dalam syarikat tenusu tersebut, selepas Rainforest Capital Sdn Bhd (30.5%), FarmChoice Foods Sdn Bhd (12.4%), Agrifood Resources Holdings Sdn Bhd (11.7%) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (8.63%).
Harga urus niaga blok saham pada 10 Ogos berkenaan tidak didedahkan dalam makluman Farm Fresh kepada Bursa Malaysia.
Bagaimanapun, berdasarkan harga penutup RM1.19 pada 10 Ogos, pembelian saham itu diandaikan berjumlah kira-kira RM111.67 juta.
Harga saham Farm Fresh mencecah paras terendah sepanjang masa pada RM1.05 (12 Julai) akibat kebimbangan bekalan yang tercetus berikutan berita bahawa Bega Group yang tersenarai di Australia memberi amaran bahawa ia mungkin menghadapi kemerosotan nilai bukan tunai antara A$180 juta dan A$280 juta disebabkan penurunan jumlah pengeluaran susu dan kenaikan harga bahan tenusu.
Ini telah mencetus kegusaran bahawa Farm Fresh akan terjejas oleh bekalan bahan yang ketat dan kos input lebih tinggi.
Bagaimanapun, Farm Fresh menjelaskan bahawa pendedahannya kepada penurunan pengeluaran susu di Australia tidak besar, di mana ia menganggarkan kira-kira 14% daripada ramuan susunya akan diperoleh daripada petani pihak ketiga di Australia pada tahun kewangan berakhir pada 31 Mac 2024 (FY24).
Pada waktu penulisan, saham Farm Fresh menokok 6 sen atau 5% kepada RM1.25 dengan permodalan pasarannya bernilai RM2.36 bilion.
Sejak mencecah paras terendah pada 12 Julai, saham Farm Fresh telah beransur meningkat kepada RM1.20 (15 Ogos), menokok 15 atau 14%. - DagangNews.com




