
KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah hari ini dilantik sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu, menggantikan Mohd Shukri Ramli yang meletakkan jawatan pada Khamis lalu.
Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perlis ke-12 selepas diperkenankan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, dalam istiadat yang berlangsung di Istana Perlis, Arau.
Menteri Besar Pertama Daripada BERSATU, Istiadat Di Istana Perlis
Abu Bakar yang juga Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Perlis mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi Menteri Besar pertama daripada parti BERSATU bagi negeri berkenaan.
Majlis angkat sumpah itu turut dihadiri bekas Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli, barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional serta ADUN Pakatan Harapan (PH) Indera Kayangan, Gan Ay Ling.
Turut hadir, Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Rahimi Ismail; Speaker Dewan Undangan Negeri, Rus’ele Eizan serta Ketua Polis Perlis, Datuk Mohammad Abdul Halim.
Sementara itu, tiga ADUN PAS iaitu Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Saad Seman (Chuping) yang keahlian mereka dalam parti itu digugurkan sebelum ini dilaporkan tidak hadir ke majlis berkenaan kerana tidak dijemput oleh pihak istana. – The Malaysian Update
The post Abu Bakar Hamzah Angkat Sumpah Menteri Besar Perlis Ke-12 appeared first on The Malaysian Update.
