
JAKARTA, 9 SEPT: Abu gunung berapi daripada tiga lagi gunung berapi di Indonesia dilaporkan merentasi beberapa kawasan di kepulauan itu pada Rabu, selain Gunung Anak Krakatau, dengan abu satu daripada gunung berapi berkenaan terus menjejaskan perjalanan udara di Nusa Tenggara Timur.
Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) memaklumkan analisis imej satelit Himawari-9 pada 7 pagi mengesan abu gunung berapi dari Gunung Ili Lewotolok di Nusa Tenggara Timur serta Gunung Dukono dan Gunung Ibu di Maluku Utara, selain abu dari Anak Krakatau di Selat Sunda.
Daripada empat gunung berapi itu, BMKG memaklumkan abu dari Ili Lewotolok yang terletak di Pulau Lembata, Nusa Tenggara Timur di timur Indonesia, dikesan pada altitud tertinggi sehingga 8,000 kaki (kira-kira 2,438 meter), bergerak dari barat laut ke utara merentasi beberapa kawasan di Kabupaten Lembata dan Selat Flores.
"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak panik, sebaliknya terus berwaspada, memantau maklumat mengenai taburan abu gunung berapi dan merujuk maklumat yang disahkan daripada sumber rasmi," menurut agensi itu dalam hantaran terbaharunya di media sosial.
Abu gunung berapi dari Ili Lewotolok menyebabkan Lapangan Terbang Wunopito di Lewoleba ditutup sementara pada Selasa, dengan tempoh penutupan kemudian dilanjutkan sehingga kira-kira 7 pagi waktu tempatan pada Khamis, menurut penyedia perkhidmatan navigasi udara milik kerajaan AirNav Indonesia.
Sementara itu, kesemua lapan lapangan terbang yang ditutup sementara sejak Ahad akibat abu gunung berapi dari Anak Krakatau telah dibuka semula menjelang Selasa, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, pintu masuk antarabangsa utama Indonesia.
Dalam perkembangan berasingan, Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Lampung memaklumkan operasi pemantauan pada 10 pagi oleh kapal Tentera Laut Indonesia KRI Lepu-861 mendapati aktiviti letusan Anak Krakatau masih dapat dikesan menerusi kepulan asap dan abu gunung berapi.
Agensi itu memaklumkan pemantauan yang turut menggunakan imej satelit Himawari-9 mengesan abu mencapai ketinggian sehingga 7,000 kaki (kira-kira 2,134 meter) dan bergerak ke arah barat laut, meliputi sebahagian Teluk Lampung.

