KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) pada Isnin mengumumkan barisan kepimpinan pertamanya susulan penguatkuasaan Akta Kredit Pengguna 2025 yang berkuat kuasa pada 1 Mac lalu.
Pelantikan tersebut diketuai Pengerusi Eksekutif, Abu Hassan Alshari Yahaya bersama barisan Ahli Lembaga Pengarah yang akan menerajui badan pengawal selia baharu itu bagi tempoh tiga tahun.
Abu Hassan berkata, penggubalan Akta Kredit Pengguna 2025 merupakan langkah penting dalam agenda reformasi kerajaan bagi memperkukuh perlindungan pengguna dalam sektor kewangan negara.
Menurutnya, buat pertama kali Malaysia memiliki undang-undang komprehensif yang memberi fokus khusus kepada pengawalseliaan kredit pengguna di luar sektor perbankan, sekali gus memperkukuh dan memperbaiki landskap industri kredit pengguna negara.
"Dengan pelantikan barisan kepimpinan pertama yang menggabungkan kepakaran, pengalaman dan profesionalisme pelbagai pihak, SKP kini bersedia melaksanakan mandat di bawah Akta Kredit Pengguna 2025.
"Kepelbagaian ini mencipta sinergi yang membolehkan SKP bertindak secara bersepadu, memastikan amalan pemberian kredit dijalankan dengan telus, adil dan bertanggungjawab, seterusnya melindungi kepentingan rakyat," katanya.
Abu Hassan sebelum ini merupakan bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) dan pernah mengetuai Pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna yang ditubuhkan pada Julai 2021 bagi merangka Rang Undang-Undang Kredit Pengguna secara kolaboratif bersama kementerian dan agensi berkaitan.
Sepanjang kerjayanya di BNM, beliau turut mengetuai beberapa fungsi utama termasuk kewangan, pengurusan mata wang, komunikasi strategik dan Perkhidmatan Sokongan Berpusat.
Beliau juga berpengalaman luas dalam bidang penyeliaan perbankan selain pernah berkhidmat sebagai setiausaha kepada Lembaga Pengarah ketika bertugas di bank pusat itu.
Abu Hassan merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Monash University, Australia dan pernah memegang jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah di Suruhanjaya Koperasi Malaysia serta Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
Pelantikan yang dibuat oleh Menteri Kewangan itu menandakan permulaan rasmi operasi SKP sebagai badan yang bertanggungjawab menyelia penyedia kredit pengguna di Malaysia.
Penubuhan suruhanjaya berkenaan bertujuan memastikan amalan pemberian kredit dilaksanakan secara telus, adil dan bertanggungjawab selaras dengan mandat di bawah Akta Kredit Pengguna 2025.
Selain Abu Hassan, lapan lagi Ahli Lembaga Pengarah SKP serta tiga ahli silih ganti turut dilantik melibatkan wakil daripada Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia serta individu profesional daripada industri.
Antara yang dilantik ialah Salmah Bee Mohd Mydin sebagai Timbalan Pengerusi Eksekutif, Nahidah Usman sebagai Ahli Bebas Bukan Eksekutif mewakili Kementerian Kewangan serta Mohamad Azizal Abd Aziz sebagai Ahli Silih Ganti Bebas Bukan Eksekutif bagi wakil kementerian itu.
Turut dilantik ialah Dr Norhana Endut sebagai Ahli Bebas Bukan Eksekutif mewakili Bank Negara Malaysia dan Endran Fadzil sebagai Ahli Silih Ganti Bebas Bukan Eksekutif bagi wakil bank pusat tersebut.
Bagi wakil Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pula, Yew Yee Tee dilantik sebagai Ahli Bebas Bukan Eksekutif manakala Datin Azryta Abdul Aziz sebagai Ahli Silih Ganti Bebas Bukan Eksekutif.
Selain itu, empat ahli bebas bukan eksekutif dari luar turut dilantik iaitu Mohd Muazzam Mohamed, Mohamed Ridza Mohamed Abdulla, Leong Kah Chern dan Murali Desan SP Krishnamurthy.

