
KUALA LUMPUR – Pengarah Maju Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Abu Sahid Mohamed, 74, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah melibatkan lebih RM145 juta berkaitan projek lebuh raya MEX II.
Beliau yang hadir dengan berkerusi roda membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.
Mengikut kertas pertuduhan, Abu Sahid didakwa menyalahgunakan dana berjumlah RM145,550,000 yang ditempatkan dalam akaun amanah Maybank Islamic Berhad milik Golden Base Construction Sdn Bhd.
Dana tersebut pada asalnya berada dalam akaun bank CIMB atas nama Maju Holdings sebelum didakwa diseleweng antara 12 Januari hingga 13 Jun 2018 di sebuah bank di Taman Serdang Perdana, Selangor.
Kesalahan itu didakwa dilakukan ketika beliau memegang amanah sebagai pengarah syarikat dan boleh dihukum mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebatan serta denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Datuk Ahmad Akram Gharib manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik.
Ini merupakan pertuduhan kedua terhadapnya berkaitan projek sama.
Pada 8 September lalu, beliau didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan pecah amanah melibatkan RM313 juta dan 13 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM139.2 juta.
Projek lebuh raya MEX II, yang dicadang sebagai sambungan dari Putrajaya ke KLIA bagaimanapun telah dibatalkan, selepas isu kewangan dan pengurusan projek dipertikaikan. - Getaran, 24 September 2025


