Acara FUNancial Day anjuran Maybank dan UKM tarik kehadiran 5,000 pengunjung
zulfadli
12/06/2023 - 15:44
KUALA LUMPUR 12 Jun - Seramai 5,000 pengunjung dan pelajar menghadiri acara FUNancial Day anjuran Maybank selama dua hari di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi, Selangor baru-baru ini.
Acara tersebut bertujuan menggalakkan kesedaran kewangan dalam kalangan pelajar dan belia untuk memastikan masa depan komuniti terpelajar tanpa mengira latar belakang sosial dan ekonomi.
Menerusi kerjasama strategik dengan UKM, Maybank memperkasakan pelajar universiti dengan pengetahuan dan kemahiran kewangan yang penting untuk melengkapkan mereka untuk masa depan.
Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Malaysia Maybank, Datuk Hamirullah Boorhan berkata, kerjasama itu menekankan hubungan dinamik antara Maybank dan sektor pendidikan kerana ia menandakan komitmen penuh memupuk dan mengukuhkan celik kewangan serta keterangkuman belia.
"Maybank mengiktiraf potensi besar untuk bekerjasama dengan UKM untuk terus melibatkan diri dan mendidik belia kerana segmen ini kekal sebagai demografi penting bagi kami, dan inisiatif transformasi digital kami telah dibangunkan dengan mengambil kira keperluan mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.
Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman pula berkata, kepentingan kerjasama antara UKM dan Maybank adalah bagi menyemai dan merapatkan jurang celik kewangan dalam kalangan belia di Malaysia.
Katanya, beliau yakin program itu akan meningkatkan kesedaran pelajar tentang penipuan dalam talian, pengurusan kewangan, keusahawanan, dan pelaburan.

"Ini adalah sebahagian daripada inisiatif untuk meningkatkan penglibatan industri di kampus dan menyediakan pelajar peluang rangkaian," katanya.
FUNancial Day merupakan acara berasaskan pendidikan dan hiburan yang unik, menyaksikan pelbagai aktiviti menarik untuk memikat dan mendidik peserta.
Acara tersebut menampilkan pelbagai ceramah mengenai celik kewangan dan bimbingan kerjaya, permainan interaktif, gerai vendor, persembahan artis dan bakat universiti, cabutan bertuah dan banyak lagi.
Dalam pada itu, Maybank turut melancarkan Maybank@Campus di He & She Café baharu di universiti tersebut, yang menawarkan gabungan unik cawangan dan kafe untuk membolehkan persekitaran santai untuk pelajar.
Maybank@Campus juga dijangka dilancar di beberapa lokasi dalam masa terdekat. Pada masa ini, bank mengendalikan sebanyak tujuh Maybank@Campus di universiti di seluruh negara. - DagangNews.com

